Sering berkongsi kemesraan di laman media sosial, kisah cinta antara penyanyi rap wanita Bunga dan anggota kumpulan duo Razqa, Amzar Sabri bukanlah lagi suatu rahsia.

Sejak hubungan cinta mereka dapat dihidu, peminat sudah tidak sabar menantikan pasangan kekasih yang sama cantik dan berbakat ini berkolaborasi dalam lagu.

Sejak seminggu yang lalu, pasangan ini sudah mula mengacah peminat menerusi laman sosial media mereka akan kemunculan karya terbaharu mereka.

Seperti yang dinanti-nantikan peminat, Bunga dan Amzar Sabri bakal muncul dengan kolaborasi mereka yang berjudul “300 SAAT”.

“300 SAAT” merupakan karya ciptaan Amzar Razqa, Bunga, dan Mekar. Manakala lirik ditulis oleh dua pasangan sejoli ini sendiri.

Lagu yang disusun dinamik dengan elemen muzik kontemporari, bertunjangkan petikan piano indah yang melatari lirik yang sarat dengan mesej kerinduan.

"Sebenarnya lagu ini tercipta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apabila pergerakan terbatas dan hanya berkurung di rumah sahaja. Masing-masing pula berjauhan, hanya mampu berkomunikasi melalui telefon sahaja.

"Mungkin sebab bosan dan tertekan dengan suasana ketidaktentuan pada masa itu, menyebabkan kami asyik bergaduh. Tapi lepas gaduh, merindu pula. Dari situlah kami mendapat ilham untuk lagu ini," kata Bunga.

Mengulas mengenai peluang kolaborasi itu, kata Amzar single terbabit merupakan gabungan pertama mereka.

“Kami memang sudah lama ada perancangan untuk berkolaborasi dalam lagu. Alhamdulillah, kami diberikan ilham untuk berkarya untuk menghasilkan lagu ini.

"Lagu ini sangat istimewa buat kami kerana buat pertama kalinya kami tampil bersama dalam satu karya,” jelas Amzar.

300 SAAT” merupakan single kedua Bunga yang diterbitkan oleh Warner Music Malaysia. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 25 SEPTEMBER 2020 manakala video muzik rasmi “300 SAAT” boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 9 malam ini.