HIBURAN

Boyz II Men Hidupkan Semula Kenangan R&B 90-an Di Mega Star Arena

Umirah Halim 27/05/2025 | 15:55 MYT
Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu bergema dengan sorakan dan nyanyian penuh emosi apabila kumpulan R&B lagenda, Boyz II Men, hadir mengubat rindu peminat dalam sebuah konsert yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh jiwa.

Malam dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh DJ Skeletor yang memanaskan pentas dengan lagu-lagu hit era 80-an hingga 2000-an, membangkitkan lagi kenangan lama dan semangat yang membara dalam kalangan penonton.

Sekitar pukul 9 lebih, dewan bergemuruh apabila Boyz II Men membuka pentas dengan dua lagu rancak iaitu Can’t Let Her Go dan Don’t Stop ‘Til You Get Enough.

Dengan langkah tarian dan gerakan yang penuh semangat, Boyz II Men tampil menggegarkan pentas seolah-olah masa tidak pernah berlalu buat mereka.

Kehadiran mereka disambut dengan jeritan dan nyanyian beramai-ramai, membuktikan populariti mereka kekal utuh meskipun sudah lebih tiga dekad dalam industri.

Salah seorang anggota Boyz II Men, Shawn Stockman, juga sempat menyampaikan ucapan penghargaan kepada para peminat Malaysia.

“Terima kasih bukan hanya untuk malam ini… anda semua telah menggunakan muzik kami ketika di saat-saat gembira, sedih, dan juga saat-saat paling intim dalam hidup anda.

“Selama 30 tahun kami berkarya, kami benar-benar bersyukur dan berasa sangat dihargai.

“Ada antara anda yang kini sudah pun mempunyai anak. Kami amat menghargai anda semua.” katanya ketika berada di atas pentas.

Ucapan itu disambut dengan tepukan dan sorakan penuh emosi, seolah-olah membalas kasih sayang yang telah lama terjalin antara peminat dan artis kesayangan mereka.

Kemudian, lagu-lagu seperti On Bended Knee, Please Don’t Go, dan Four Seasons of Loneliness terus menghidupkan suasana syahdu.

Setiap bait lirik seolah-olah membelai jiwa, membangkitkan memori cinta lama, kehilangan, dan kerinduan yang mendalam.

Antara momen paling menyentuh perasaan ialah ketika lagu It’s So Hard to Say Goodbye to Yesterday dan One Sweet Day dimainkan.

Di skrin pentas, rakaman lama Boyz II Men bersama bekas anggota asal, Michael McCary, serta kolaborasi mereka bersama Mariah Carey dipaparkan semula.

Menambahkan lagi keistimewaan malam itu, Boyz II Men menghadiahkan bunga ros kepada beberapa penonton bertuah semasa menyampaikan lagu cinta ikonik mereka, I’ll Make Love to You.

Tidak hanya bergantung kepada lagu sendiri, kumpulan ini turut menyelitkan medley lagu-lagu ikonik dari artis-artis lain seperti Purple Rain (Prince), Come Together (The Beatles), Locked Out of Heaven (Bruno Mars) dan A Change Is Gonna Come (Sam Cooke), membuktikan versatiliti vokal dan penghargaan mereka terhadap sejarah muzik dunia.

Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu ditutup dengan lagu Motownphilly, membawa semula aura awal kemunculan mereka dalam industri.

Dewan bergema dengan tepukan gemuruh, dan wajah-wajah puas jelas terpancar dalam kalangan penonton.

Malam itu bukan sekadar persembahan muzik. Ia adalah satu perjalanan kembali ke masa silam, menghidupkan semula detik-detik yang pernah menjadi latar kepada cinta dan kehilangan.

Tanpa ragu, Boyz II Men kekal sebagai raja muzik R&B, dan konsert ini menjadi bukti bahawa suara mereka masih mampu menggetarkan hati, seperti dulu.

Kredit foto: Sudasan

#Boyz #KL #Mega Star Arena #II #men