Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Brilliant! Hatta Dolmat Tampil Dengan Koleksi Kain Perca! – “Daripada Buang Ke Tempat Pelupusan Sampah, Lebih Baik Saya…”

Fiza Kamarudin
13/09/2020 23:05 MYT
Bertitik tolak dengan kebimbangan lambakan sisa tekstil di tapak pelupusan sampah sebanyak 195,300 tan setahun, pereka fesyen Hatta Dolmat tampil dengan koleksi yang diperbuat daripada kain perca untuk kelestarian alam sekitar.

Hatta yang mula berjinak-jinak dengan fesyen lestari sejak 2015 berkata beliau telah menghasilkan hampir 200 topi 'bucket' selain aksesori beg 'pouch' menerusi kaedah upcycle.

Kaedah tersebut ialah, menggunakan semula barangan terpakai tanpa sebarang proses kimia, sekali gus mengurangkan pengeluaran karbon atau sebarang bentuk pencemaran.

"Mula-mula sebab rasa sayang dengan perca kain daripada satu koleksi yang materialnya saya lukis sendiri.

“Jadi saya mula berfikir daripada buang ke tapak pelupusan sampah, lebih baik saya jadikan perca kain ini kepada satu produk lain.

"Kemudian saya juga mula berfikir impak lebihan kain perca dan sisa tekstil yang memakan masa sehingga 200 tahun untuk diuraikan di tapak pelupusan sampah dan mencemarkan alam sekitar," katanya.

Hatta yang berpengalaman 15 tahun dalam industri itu berpendapat pereka fesyen kini bukan hanya bertanggungjawab mencipta busana indah tetapi perlu mempunyai etika dan prihatin terhadap kesan jangka masa panjang terhadap setiap penghasilan pakaian.

"Saya melihat industri fesyen kini tidak lagi seperti dahulu yang berpaksikan kepada populariti dan dunia selebriti sebaliknya ia kini sebuah industri mega yang turut menjadi sumber utama janaan ekonomi negara dan telah menjadi sebagai antara industri pengeluar sisa pepejal terbesar dunia.

"Saya melihat ia sebagai satu isu yang serius dan sekiranya saya tidak mengambil langkah awal untuk memberikan kesedaran kepada pereka lain terutamanya pereka muda, saya bimbang industri ini akan terus menjadi penyumbang sampah terbesar dunia," katanya yang juga terinspirasi dengan jenama fesyen antarabangsa yang telah mengambil langkah berkenaan lebih awal.

Sumber: BERNAMA

#Pereka Fesyen #Gaya Hidup #Hatta Dolmat