Pelakon Iedil Putra akui ada berjumpa dengan Bront Palarae yang memegang watak asal Rahman dalam Filem Ola Bola sebelum menjayakan pementasan muzikal tersebut.

Iedil Putra berkata Bront Palarae amat mempercayainya untuk membawakan watak tersebut dalam Ola Bola The Musical.

“Saya sudah berjumpa dengan Bront Palarae, dia pun gembira apabila mendapat tahu saya yang membawakan watak tersebut.

“Katanya di Malaysia ni tiada orang atau pelakon lain yang dia percaya boleh membawa watak Rahman.

“Jadi saya pun sudah mendapat restunya,” katanya kepada Astro Gempak

Pun begitu, Iedil memberitahu dia cuba untuk mencari kelainan dalam watak Rahman supaya ia tidak sama dengan cara pelakon asal.

“Meskipun sebelum ini saya sudah menonton filem Ola Bola, namun untuk pementasan ini saya cuba bawa kelainan dan hanya mengambil karakter Rahman sebelum ini sebagai rujukan sahaja.

“Malah saya turut terlibat dalam proses olahan skrip untuk membuat improvisasi agar apa yang saya tampilkan memgikut gaya penyampaian saya sendiri,” katanya lagi.

Selain Iedil Putra, pelakon yang membintangi Ola Bola The Musical adalah Luqman Hafidz, Lim Jian Wen, Altimet, Douglas Lim dan ramai lagi.

Ola Bola The Musical yang dipersembahkan oleh CIMB itu sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sejak 8 Februari hingga 11 March 2018.

Tiket Ola Bola The Musical dijual dengan harga bermula dari serendah RM58.71.

Diskaun sebanyak 40% diberikan untuk pengguna kad CIMB atas pembelian tiket mengikut terma san syarat. Ia boleh dibeli di www.olabolamusical.com.