Biarpun sering menjadi pilihan produser dan pengarah untuk membintangi filem seram, aktor Bront Palarae mengakui dirinya tidak suka menonton filem seram.

"Sejujurnya, saya tak menonton filem seram kerana saya tidak suka genre tersebut. Satu perkara tentang filem seram, setiap kali saya menontonnya, akan terbawa sehingga ke dalam mimpi.

"Kalau perkara seram itu kita tonton di kaca televisyen, ia boleh terus diberhentikan dengan menutup televisyen tetapi bagaimana jika kita mahu mematikan ia sekiranya perkara seram itu terbawa dalam mimpi?" seloroh Bront.

Tambah pelakon filem Sejoli itu, dia akan menonton filem seram di pawagam sekiranya filem tersebut diperkatakan ramai pihak.

"Jika filem seram itu terkenal dan diperkatakan ramai seperti Conjuring, saya akan ketepikan rasa tidak suka itu dan akan menontonnya di pawagam kerana saya tidak mahu ketinggalan," katanya lagi.



Selepas popular dengan watak Bapak dalam Pengabdi Setan, aksi Bront dalam filem seram kini boleh ditonton dalam siri "Doors: A Philippines Horror Anthology" yang disiarkan di Boo (saluran 404).

Siri Doors memaparkan 13 filem seram menarik Filipina dan Bront membintangi filem Daddy's Home karya Bradley Liew.

Untuk jadual tayangan filem Daddy's Home dan filem-filem menarik lain, layari http://whatson.astro.com.my/channels/Boo/251/?cat=movies&stb=404

Teks oleh: Kamaruddin Razal