Sebagai grup K-Pop paling popular di dunia, sudah pasti kumpulan BTS telah memecah pelbagai rekod sejak menempa nama dalam industri muzik.

Tentulah, dengan bakat yang ada pada RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook, setiap apa yang ‘disentuh’ oleh BTS pasti akan bertukar menjadi emas.

Terbaharu, satu lagi rekod telah dicipta oleh kumpulan ini.

Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh portal hiburan Soompi, BTS kini merupakan artis dengan jumlah tontonan Youtube terbanyak, mengalahkan Justin Bieber yang kini berada di tangga kedua.

Menerusi laporan berkenaan, BTS meraih lebih 26.7 billion jumlah tontonan yang dikutip daripada kesemua video daripada pelbagai saluran rasmi Youtube yang melibatkan mereka.



Ia termasuklah jumlah tontonan klip video dan juga video latihan menari.

Selain BTS dan Justin Bieber, Ed Sheeran turut tersenarai sebagai artis ketiga dengan jumlah tontonan terbanyak di Youtube diikuti dengan Bad Bunny, Taylor Swift, Katy Perry, Shakira, Ozuna, Eminem dan Ariana Grande.

Buat masa ini, klip video kumpulan BTS yang meraih jumlah tontonan terbanyak adalah Boy With Luv, Dynamite dan DNA, masing-masing melebihi 1.4 bilion tontonan.