Ramai yang menyuarakan pandangan kurang senang terhadap dua visual yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Satunya foto sekumpulan pelajar berpakaian sekolah sedang membonceng motorsikal dan menconteng perkataan 'F*ck Cikgu' pada belakang baju.

Keduanya, video seorang pelajar (juga berpakaian sekolah) mencampak buku-buku ke dalam sungai dari atas jambatan. Siap disunting dengan muzik rancak!

Itu belum lagi berita sekumpulan 63 calon SPM disaman kerana bertindak luar kawal dengan berpesta atas jalan raya sempena meraikan hari terakhir peperiksaan mereka baru-baru ini.

Apakah ini? Tak sempat tanggal uniform yang menjadi saksi segala ilmu dituntut di sekolah, sudah berani tayang segala sikap gangster?

Apa yang cuba dibuktikan dengan tindakan sedemikian sebenarnya? Adakah ia tanda diri sudah bebas atau tindakan rebellious?

Situasi terbabit mengundang rasa kurang selesa dalam kalangan masyarakat.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan bersuara, tindakan menconteng baju itu dengan kata-kata kesat untuk guru katanya biadab dan tidak bermoral.

"Tindakan itu menunjukkan sikap biadab, tidak bermoral dan mencerminkan generasi pelajar yang rosak nilai kerohanian.

"Perbuatan pelajar menggunakan ungkapan kesat dan makian terhadap guru menunjukkan rasa tidak hormat selain menghina warga pendidik," katanya seperti dipetik dari Harian Metro.

Seorang pengguna di Facebook yang dikenali sebagai Wan Mahussin Wan Zain geram dengan perbuatan melampau pelajar-pelajar berkenaan.

"Adik-adik adalah pewaris Bangsaku.. ‘F*c* Cikgu’ bagai gelap masa depanmu. Bersegeralah kembali dalam jalan hidup sebenar dik. Rugi hidup jika tiada berkat dari pendidikmu. Abang pernah berada di tempatmu tetapi bukan ini caraku," tulisnya.

Yang tidak seorang bahkan ramai lagi resah jika itu generasi baharu yang dilahirkan pada zaman kini. Benar, ia cuma cerminan kecil daripada kelompok yang mungkin jauh lagi terbilang adab dan santunnya.

Semoga ia menjadi kes terpencil dan bukan jadi ikutan.

Sedarlah, yang dihina itu guru. Gelaran yang takkan pernah dipencenkan masyarakat. Jangan jadikan ini trend!