Buat Aksi ‘Superman’ Atas Motor Bawa Padah, Terbabas Lepas Kena Kejar Polis!
Awani
28/08/2022 23:23 MYT
28/08/2022 23:23 MYT
Tindakan seorang remaja melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang motosikal membawa padah apabila ditahan polis berhampiran Plaza Tol Jabor, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 18 tahun berasal dari Bandar Jengka, Pahang itu ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya jam 10.30 pagi.
“Remaja ini melakukan aksi ‘Superman’ dengan menundukkan kepala selari dengan meter sambil melakukan aksi zig-zag dari lorong kanan jalan ke lorong kiri secara berulang kali sejauh kira-kira dua kilometer.
“Polis telah mengarahkan suspek yang menunggang motosikal EX5 itu supaya berhenti, namun dia enggan dan terus memecut menghala ke Plaza Tol Jabor,” katanya di sini pada Ahad.
Menurut Hanyan, polis mengekori suspek namun lelaki tersebut membuat pusingan-U dan memecut melawan arus ke arah Kuantan, sebelum sekali lagi membuat pusingan-U menghala ke Plaza Tol Jabor.
Beliau berkata, motosikal ditunggang suspek kemudian terbabas sendiri kira-kira 50 meter dari Plaza Tol Jabor menyebabkan dia mengalami kecederaan ringan.
“Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 20 saat yang memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek terbabit melakukan aksi 'Superman' tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa yang merakam perbuatannya.
Sumber: Astro Awani