Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Buat Apa Nak Kedekut, Berkongsi Ilmu Kan Lebih Baik - Mark Adam

Mya Amri 10/02/2017 | 13:00 MYT
Penyanyi Mark Adam akui seronok dapat berkongsi ilmu bersama para pelajar di pusat latihan vokal miliknya iaitu Suara Akademi.
Menurut Mark, tujuan utama dia membuka pusat latihan tersebut adalah untuk membantu penyanyi berbakat menerusi latihan vokal.
“Sebelum ini saya pernah menjadi guru vokal selama lapan tahun dan sebab itu saya berasa gembira kerana hasrat saya untuk membuka pusat latihan ini tercapai.
“Misi saya untuk menolong penyanyi berbakat mengasah dan memantapkan lagi vokal mereka sebab itu pusat latihan ini tidak mengenakan bayaran yang mahal.
"Buat apa nak kedekut, berkongsikan lebih baik. Lagipun saya belajar dengan bapa saya, dia beritahu jangan kedekut ilmu, kalau kita kongsi ilmu secara tidak langsung kita juga akan dapat belajar sesuatu yang baru," katanya ketika ditemui Astro Gempak.
Mengulas mengenai Suara Akademi, Mark memberitahu setakat ini pusat latihan tersebut sudah mempunyai lebih 20 orang pelajar.
“Alhamdulillah, walaupun masih baru, Suara Akademi sudah mempunyai 20 orang pelajar yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India.
“Usia pelajar pula bermula dari tiga tahun dan ke atas. Sememangnya saya rasa sangat gembira kerana dapat membantu mereka,” ujarnya.
Selain Mark, tenaga pengajar Suara Akademi adalah Amir Jahari, Ewal dan Adeep Nahar.
Suara Akademi mengenakan bayaran sebanyak RM300 bagi seorang pelajar untuk empat sesi latihan selama sebulan.
Teks oleh: Mya Amri
#Penyanyi #Mark Adam #Penyanyi #Suara Academy
;