Kerajaan semalam memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri selama berkuat kuasa Rabu ini, jam 12.01 tengah malam hingga 26 Januari depan.

Bersama pengumuman PKP di enam negeri terbabit iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di enam negeri lain.

Negeri yang akan menjalani PKPB bagi tempoh sama adalah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Meski demikian, mesti ramai yang sudah membuat pelbagai persediaan termasuk mengadakan majlis pernikahan atau resepsi selepas negara tidak dikenakan PKP dan PKPB sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun, untuk bakal pengantin yang tempoh pernikahan termasuk di antara tanggal 13 sehingga 26 Januari depan, majlis masih boleh dilaksanakan mengikut SOP yang telah ditetapkan sebelum ini.

Berikut adalah prosedur operasi standard (SOP) akad nikah seperti yang dipaparkan dalam laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah dikemaskini pada November 2020:

1). Waktu operasi (akad nikah)
* Tidak melebihi 20 minit atau seperti yang ditetapkan melalui temu janji.

2). Jumlah kehadiran dibenarkan
* Tidak melebihi 30 orang termasuk lima individu dalam rukun nikah dengan penjarakan fizikal 1 meter.

Berikut pula adalah persiapan ketika majlis berlangsung:

1). Persiapan bakal pengantin
• Telah mendapat Kebenaran Berkahwin dari Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)
• Membuat temu janji
• Hanya membawa mas kahwin dan dokumen berkaitan sahaja

2). Kawalan penularan dan jangkitan
• Mengadakan kaunter memeriksa suhu badan, sanitasi tangan;
• Daftar kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau direkodkan di dalam buku kehadiran;
• Hanya mereka yang tidak bergejala, bukan kontak rapat kes positif dan bukan dari Kawasan PKPD atau Zon Merah dibenarkan hadir;
• Sentiasa memakai pelitup muka; dan
• Bersalaman dan berpelukan tidak dibenarkan.

3). Lokasi majlis
• Pengurusan JAIN hendaklah menentukan tempat yang bersesuaian dengan bilangan yang hadir dan membuat penandaan jarak sekurang- kurangnya 1 meter.

4). Fotografi
• Aktiviti fotografi adalah dibenarkan semasa majlis pernikahan sahaja; dan
• Jurufoto tidak termasuk dalam 30 orang jemputan tetapi tertakluk kepada pematuhan SOP yang telah ditetapkan

5). Jamuan
• Aktiviti jamuan makan tidak dibenarkan.
Demikian SOP majlis akad nikah dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti diumumkan MKN, dijangka sama juga untuk kawasan yang akan dikenakan PKP.

Kredit Foto: Awani