Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Buat Hal! Kafe Tampal Wallpaper Wajah Pemimpin Komunis Disiasat Polis

Maliah Surip
03/01/2021 06:50 MYT
Setelah viral mengenai kafe yang menghiasi dindingnya menggunakan gambar wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong, pihak polis kini telah membuka kertas siasatan.

Menurut laporan BERNAMA, polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat dua kafe di Pulau Pinang yang terletak di Juru, Bukit Mertajam dan di Pulau Tikus, Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra'ais berkata siasatan awal mendapati premis kafe di Juru, Bukit Mertajam dekat sini dan di Pulau Tikus di sini, adalah milik seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

"Setakat ini polis telah merekodkan keterangan beberapa individu termasuk pekerja di kafe berkenaan bagi membantu siasatan, pemiliknya kami belum mengambil (keterangan) kerana lelaki itu sedang menjalani kuarantin COVID-19 selama 14 hari," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kertas hiasan dinding di dua buah kafe berkenaan diturunkan malam tadi, dan polis telah membuka kertas siasatan, bagi menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 berkaitan penerbitan propaganda pertubuhan haram.

Kredit Foto: Ihsan Pembaca
#PDRM #Kafe #COVID 19 #Mao Tze Tong #Pemimpin Komunis #Pulau Tikus