Hiburan
Buat Luahan Hati Dengan Lee Kwang Soo , Song Ji Hyo Menangis
Satu-satunya anggota wanita Running Man, Song Ji Hyo mengalirkan air mata ketika membuat luahan hati kepada rakan sepasukannya, Lee Kwang Soo.
Kejadian itu didedahkan dalam episod istimewa berjudul ‘I Miss You, I Love You’ yang bersiaran baru-baru ini.
Song Ji Hyo atau lebih mesra dengan panggilan Ji Hyo pada mulanya agak kekok untuk berdepan Kwang Soo sewaktu ditempatkan dalam sebuah bilik untuk segmen luahan hati.
Namun sebaik sahaja diberi arahan untuk membaca surat yang kepada jejaka tinggi lampai itu, dia mulai sebak.
“Banyak perkara yang saya tulis untuk memberitahu bertapa bersyukurnya saya sepanjang mengenali awak.
“Sewaktu mula-mula berada dalam program ini, saya sering terfikir adakah saya layak untuk berada dalam Running Man.
“Secara jujur, pada waktu itu saya sering rasa bersalah kerana tak dapat menyesuaikan diri dengan ahli-ahli Running Man yang lain dan agak kekok bersama mereka.
“Masih lagi teringat ketika itu saya sering menangis dan mengadu pada awak yang saya berniat untuk keluar daripada program ini.
“Tapi, setiap kali saya meluahkan hasrat untuk berhenti, awak tetap tenang mendengar segala keluhan dan banyak memberikan sokongan kepada saya.
“Saya berterima kasih untuk perkara yang awakdah lakukan pada saya. Terima kasih,” katanya sebak.
Kwang Soo kemudiannya membalas kata-kata Ji Hyo dengan membacakan surat yang ditulis kepada wanita itu.
“Sepanjang enam tahun kita bersama, rasanya saya banyak layan awak dengan kasar dan saya minta maaf atas tindakan tersebut.
“Saya tahu ada benda yang awak suka dan tak suka tetapi saya tetap juga lakukannya. Saya sedar kadang-kadang tingkah laku saya membuatkan awak rasa tak selesa dan sakit hati.
“Tapi disebabkan saya ingin lakukan yang terbaik untuk program ini, rasanya walaupun dah minta maaf saya mungkin akan lakukan kembali perkara yang sama,” ujarnya.
Luahan hati Kwang Soo itu kemudiannya disambut dengan gelak ketawa oleh Ji Hyo.
Selepas menyaksikan episod tersebut, rata-rata peminat terharu melihat keakraban yang ditunjukkan oleh mereka berdua ibarat hubungan adik dan kakak.