Pelakon, Keith Foo enggan mengulas lanjut mengenai isu rumah tangganya yang dikatakan goyah.

Menurut Keith, perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsi dengan masyarakat.

“Apa yang boleh saya katakan, hal rumah tangga adalah sesuatu bersifat peribadi. Buat masa sekarang, hubungan kami baik saja.

“Kami sibuk dengan hal masing-masing, namun tetap memberikan fokus 100 peratus kepada anak,” katanya.

Ditanya lagi sama ada timbul isu yang menggoncang keharmonian rumah tangganya, Keith setiap hubungan tentunya akan ada masalah.

“Biasalah, kalau dalam apa juga hubungan pun tidak kiralah perkahwinan atau percintaan, ada naik dan turunnya.

“Setiap masalah yang timbul dalam sesuatu hubungan ini juga tentunya akan ada penyelesaiannya,” ujarnya.

Diminta mengulas mengenai komen warganet yang rata-rata membuat spekulasi kononnya dia tidak lagi tinggal sebumbung dengan isteri, Keith memilih untuk membiarkan saja tindakan mereka.

“Biarkan saja kepada mereka untuk bercakap apa pun. Kadang-kadang, warganet ini bertindak seperti mereka tahu semuanya yang berlaku.

“Selagi komen dan spekulasi mereka tidak merugikan saya, saya okey. Sekurang-kurangnya, mereka ada sesuatu yang diperdebatkan,” katanya.

Terdahulu, Keith dan Kim Raymond berkahwin pada 30 November 2015 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Skylar Raymond Foo pada 30 Mei 2017.

Sumber: Harian Metro

Foto: Instagram @keithfoo