Buat Pembedahan Besarkan Payudara, Wanita Hampir Maut Selepas Puting Membengkak & Beralih Posisi
16/02/2023 15:00 MYT
Niat seorang wanita yang memiliki payudara bersaiz luar biasa untuk menarik perhatian ramai bertukar tragedi apabila dia terpaksa dikejarkan ke hospital bagi menyelamatkan nyawanya.
Mangsa mendakwa pembedahan membesarkan payudara (breast filler) membabitkan kos lebih RM23,600 dilakukannya pada penghujung tahun lalu di sebuah premis di ibu kota.
Lebih memalukan apabila hasil pembedahan itu menyebabkan fizikal mangsa kelihatan aneh apabila payudaranya beralih posisi hingga mangsa kelihatan pelik.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Elis, 32, tertarik untuk melakukan pembedahan membesarkan payudara selepas ditawarkan melalui laman sosial Facebook.
"Saya diberikan diskaun dan hanya perlu membayar RM23,600 berbanding kos asal lebih RM26,000. Malah saya terlalu yakin kepada doktor lelaki berusia 40-an itu yang mendakwa memiliki kelulusan menawarkan khidmat itu dari Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
"Malah klinik pembedahan dikendalikan doktor itu terletak di Bukit Kiara, didakwa mendapat kelulusan beroperasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Menurutnya, dia kemudian menjalani pembedahan selama dua jam di premis itu dengan memasukkan implan ke dalam kedua-dua payudaranya.
“Bagaimanapun, selepas empat bulan melakukan pembedahan itu, saya mula berasa tidak selesa dan sakit pada bahagian kanan payudara. Malah lebih menyakitkan apabila bahagian puting turut membengkak.
"Selain itu kedudukan payudara turut 'beralih' lokasi hingga menyebabkan ia kelihatan pelik. Saya kemudian pergi semula bertemu 'doktor' berkenaan bagi mendapatkan penjelasan
"Malangnya doktor itu enggan bertanggungjawab atas kerosakan yang berlaku selain menjalankan semula pembedahan bagi mengeluarkan implan yang ditanam di dalam payudara saya," katanya.
Menurutnya, akibat tidak tahan dengan derita dialami, mangsa terpaksa pergi ke sebuah hospital swasta di Damansara bagi mendapatkan rawatan.
"Doktor di hospital berkenaan mengesan berlaku jangkitan serta kedudukan payudara saya yang 'lari' dari kedudukan asal. Saya disarankan melakukan pembedahan di hospital itu bagi menyelamatkan nyawa.
"Saya terpaksa membayar RM28,000 bagi kos pembedahan berkenaan. Susulan kejadian itu saya bertindak membuat laporan kepada pihak MMA kerana tidak mahu lebih ramai mangsa tertipu," katanya ketika ditemui membuat aduan kepada Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan (PSCD) MCA, Datuk Seri Michael Chong, pada Rabu.
Sementara itu, pihak MMA mengesahkan bahawa pihaknya menerima aduan dihantar mangsa membabitkan doktor estetik berkenaan.
Bagaimanapun siasatan melalui Malaysia Medical Council (MMC) mendapati doktor terbabit tidak berdaftar secara sah untuk berkhidmat di negara ini.
Menurutnya, mangsa sudah diarah membuat laporan rasmi kepada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) terhadap klinik estetik berkenaan.
Sumber- Harian Metro
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.