Penyanyi Harris Alif, 21 tampil dengan buah tangan terbaru menerusi single berjudul Anugerah.

Disulami dengan bait-bait indah dengan nada yang romantik, Harris telah memberikan 'nyawa' dalam lagu ciptaan Archie Nasution ini.

Menurut Harris, dia akui lagu tersebut membawa makna yang cukup besar dalah hidupnya secara peribadi. Katanya lagi, penghasilan lagu Anugerah ini memberi sinar buatnya untuk menyerlah kembali dalam arena seni suara.

“Untuk pengetahuan semua, ini adalah lagu sulung saya bersama Sony Music Malaysia. Oleh kerana itu, ia membawa makna yang sangat besar dan ia pertaruhan pertama saya bersama label rakaman ini.

“Kekuatan lagu ini adalah pada lirik dan melodinya yang mudah menangkap halwa telinga selain senang untuk dinyanyikan bersama menjadikan lagu ini istimewa,” katanya.

Hangat diperbualkan bercinta dengan pelakon Intan Ladyana sekarang, Harris tidak menafikan lagu ini ditujukan buat pelakon tersebut.

Justeru, ia memberikan lebih makna kepadanya meskipun idea asalnya adalah cetusan Archie sendiri.

Apapun, menurutnya, Anugerah adalah sebuah lagu cinta yang boleh dikaitkan dengan kisah cinta sesiapa jua.

“Sebenarnya, pencipta sendiri iaitu Archie menulis lirik lagu ini untuk isterinya yang tercinta.

"Hakikatnya, sebagai penyanyi, saya cuma meneruskan tanggungjawab untuk memberikan nyawa dalam nyanyian agar mesej yang cuba disampaikan tepat menusuk ke hati pendengar.

"Semestinya, saya juga tujukan lagu Anugerah ini kepada seseorang yang istimewa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Harris juga akui terdapat cabaran dalam menghasilkan lagu tersebut.

“Untuk saya sendiri, bahagian yang paling mencabar adalah penghayatan lagu itu.

“Saya perlu benar-benar mendalami untuk serasikan diri dengan keseluruhan idea Anugerah.

"Kemudian, saya juga harus memahami secara mendalam konteks dan mesej yang perlu disampaikan. Proses menyiapkan lagu ini memakan masa dalam tiga hari.

Untuk rekod, Harris atau nama sebenarnya, Nor Harris Alif bin Nor Rashidi adalah antara artis muda versatil dan terus meningkat naik namanya.

Bukan sekadar penyanyi, dia juga aktif sebagai pengacara, pelakon, dan model. Mula mencipta nama pada usia semuda 11 tahun, Harris pernah menjuarai program nyanyian termasuk Bintang Kecil RTM pada 2009 dan Idola Kecil 3 (2010).

Anugerah boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music,Deezer, JOOX, KKBox, Spotify & YouTube Music.

Muzik video rasmi lagu ini juga telah dilancarkan secara rasmi di YouTube pada tengah malam tadi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!