Hiburan
Buat Solat Hajat & Berdoa, Keluarga Harap Sambut Aidilfitri Bersama Farid Kamil
Adik kepada pelakon Datuk Farid Kamil, Fadzil Zahari memberitahu media abangnya kelihatan lebih tenang menjalani hukuman penjara kali ini.
Kata Fadzil dia dan isteri Farid, Datin Diana Danielle sempat melawat pelakon itu di Penjara Kajang baru-baru ini dan berusaha untuk membuat rayuan untuk beraya bersama-sama.
"Selepas seminggu lebih tak banyak yang saya boleh ulas cuma kami sedang mengusahakan yang terbaik untuk membuat rayuan.
"Apa yang boleh buat sekarang hanyalah berdoa sebab situasi tidak sama seperti sebelum ini. Hukuman sudah dijatuhkan dan kita cuma mampu berdoa.
"Baru-baru ini kami ada melawat Farid dan kali ini dia nampak agak tenang.
"Cuma pesannya pada saya sepanjang ketiadaan dia, sayalah yang perlu pikul tanggungjawab nombor satu dalam keluarga sepertimana yang dia lakukan selama ini," kata Fadzil kepada Gempak.
Peguam Farid, Megat Syazlee Mokhtarom sedang melakukan yang terbaik untuk membebas atau menangguhkan hukuman terhadap pelakon dan pengarah itu.
Sehingga kini masih belum ada sebarang jawapan berhubung rayuan terbabit namun keluarganya tidak putus doa mengharapkan rahmat Ramadan.
"Saya tak ada plan untuk berjumpa Farid lagi buat masa sekarang cuma saya harap dia keluar dan dapat beraya bersama keluarga.
"Kedua-dua ibu bapa kami berhubung melalui telefon sahaja memandangkan kami merancang untuk pulang beraya bersama lebih awal tahun ini.
"Tidak dinafikan mereka sedih dan berduka atas khabar ini. Cuma kami saling mengingati sesama keluarga supaya sentiasa berdoa dan ada juga yang mendirikan solat hajat," tambahnya.
Farid dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol pada Januari tahun lalu.
Majistret Nor Ariffin Hisham memerintahkan Farid menjalani hukuman penjara serta-merta pada 15 Mei lalu.
Foto: Harian Metro
Must-Watch Video