Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Buat Tribute 3 Dekad Tahap Nak Rompak Lagu, Misha Omar: "Dulu Semua Nak Jadi Ziana Zain"

Maliah Surip
16/02/2021 00:20 MYT
Penyanyi Misha Omar mendapat perhatian sejak semalam selepas beliau mendendangkan dua buah lagu milik Ziana Zain menerusi slot yang digelar Ziana Zain 30 Tahun dalam laman Instagramnya, @mishaomar.

Misha mendendangkan lagu Setiaku Di Sini dan Menadah Gerimis yang disifatkan sebagai mempunyai sentimental value buatnya sebagai seorang peminat Ziana Zain.

Pemenang dua kali Vokal Terbaik Juara Lagu itu mendedahkan, beliau ingin 'merompak' lagu Menadah Gerimis karya Azmeer dan pernah memberitahu hasrat tersebut kepada Ziana Zain.

"Saya terus terang dengan dia. Tentang nak rompak lagu tu dari dia. Dia ketawa. Dia cakap 'kalau takat dengan kau dik..akak tak berkira dik..ambiklahhh'", tulis Misha pada kapsyen.

Tindakannya menyanyikan semula dua lagu tersebut bukan hanya menggamit perhatian netizen, malah Ziana Zain ikut memuji lagu lagunya yang didendangkan versi Misha.

Sewaktu dihubungi Gempak, Misha menjelaskan, beliau melakukan inisiatif tersebut kerana merasa perlu merayakan Ziana Zain yang disifatkan sebagai sebuah fenomena, idola dan emas dalam industri seni tempatan.

"Beliau fenomena. Dulu semua orang nak jadi Ziana Zain. Ada Ziana Zain 1, Ziana Zain 2 dan Ziana Zain 3.

"Beliau idola dan sesuatu yang cukup besar untuk diraikan. Apa lagi mengenang sudah 30 tahun atau tiga dekad beliau dalam industri ini, saya sangat teruja untuk membanggakan Ziana Zain dengan menyanyikan lagu lagu beliau selepas menonton Konsert Minggu Ini, baru baru ini.

"Tak sangka ramai yang suka dan Ziana Zain sendiri komen di Instagram saya," katanya.

Menurut Misha, beliau melakukan aktiviti menyanyikan semula lagu lagu rakan seindustri sebagai tanda apresiasi dan kasih sayang buat pelaku seni yang disifatkan Misha memiliki keunikan tersendiri.

"Dengan ini saya juga ingin sampaikan kepada peminat bahawa kami sesama rakan artis okay saja dan saling sayang menyayangi. Jadi marilah kita meraikan hal yang positif dan keunikan setiap pelaku seni kita," jelas Misha lagi.

Misha juga menjelaskan, oleh kerana tidak memiliki saluran YouTube peribadi, maka beliau menggunakan Instagramnya yang diikuti lebih satu juta orang ini sebagai medium untuk berbagi aktiviti.

"Saya tak ada saluran YouTube. Yang saya ada satu satunya Instagram ini sebagai medium buat saya berkomunikasi dan melakukan aktiviti.

"Saya juga tak punya apa selain suara untuk dikongsikan sebagai tanda penghargaan kerja keras rakan sesama artis," kata penyanyi berusia 39 tahun ini.

A post shared by Misha Omar (@mishaomar)


Sementara itu, Misha juga menyifatkan kakak penyanyi Anuar Zain ini sebagai seorang sahabat yang baik, jujur dan tidak sombong.

"Bayangkan dulu Ziana Zain besar mana, kita pula Misha Omar saja. Tapi beliau layan saya dengan baik. Jujur dan selalu berkongsi kisah tentang anak anak.

"Jadi bila lihat semula perjalanan karier 30 tahun Ziana Zain, melihat anak anaknya sudah dewasa, saya jadi bangga. Saya kena raikan beliau," kata Misha.

Terdahulu, Misha dilihat kerap mendendangkan lagu rakan seindustri lainnya termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Aisyah dan Alyah yang sebagai 'hadiah' ulang tahun mereka sekitar Januari lalu.

Instagram: @mishaomar, @collinsim, @iamzianazain




#Misha Omar #Ziana Zain #Idola #Menadah Gerimis #Setiaku Di Sini #3 Dekad
;