Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel berharap orang ramai dapat menghargai setiap masa terluang bersama insan-insan tersayang.

Menurut Naim, sedang negara diuji dengan pendamik ini sebarang kemungkinan boleh berlaku termasuklah hal-hal yang melibatkan kehilangan nyawa.

Disebabkan itu juga, Naim menyatakan agar semua pihak tidak melepaskan peluang untuk mencipta memori bersama mereka yang tercinta.

“Kalian, buatlah banyak kenangan. Tangkap gambar orang yang kalian sayang, berbual dengan mereka tak kisahlah sekejap ataupun benda remeh sekalipun.

“Bagitahu mereka yang kalian sayangkan mereka. Nyawa pada waktu sekarang mudah direntap tanpa amaran. Buatlah banyak kenangan,” tulisnya menerusi ciapan yang dimuat naik di Twitter.

Dalam pada itu, warga Twitter juga bersetuju dengan ciapan Naim dan rata-rata mereka berkongsi pengalaman peritnya kehilangan orang tersayang.

Terdahulu, dunia industri hiburan dikejutkan dengan pemergian bintang kesayangan ramai, Siti Sarah Raisuddin yang menghembuskan nafas terakhir pada Isnin, jam 5.13 pagi.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat COVID-19.

BACA: Jenazah Siti Sarah Selamat Dikebumikan – “Memang Permintaan Arwah Untuk Disemadikan Sebelah Pusara Ibunya…”

Ibu kepada empat cahaya mata itu belum sedarkan diri dan masih bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.

Bagaimanapun malam tadi ketika majlis bacaan Yassin menerusi aplikasi Zoom, Shuib memaklumkan keadaan isterinya tenat selepas paras oksigen menurun sehingga 30 peratus.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.

Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.