Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bubar FINAS Tidak Patut, Cadangan Agar Majlis Seni Ditubuhkan Untuk Bantu Penggiat Seni

Elrafaei Sapi
24/05/2018 09:34 MYT
Cadangan segelintir penggiat seni agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang berperanan membantu industri perfileman dan penyiaran tempatan dibubarkan adalah tindakan tidak patut sebaliknya sistem pengurusannya perlu diteliti serta dirombak semula.

Pensyarah sambilan filem dan penyiaran berpengalaman yang juga fasilitator bengkel latihan berkaitan industri kreatif, Zaki Abdul Rahim berpandangan FINAS masih relevan untuk membantu ramai penggiat seni yang memohon dana kerajaan dan mengikuti latihan secara profesional.

"Dalam satu pertemuan penggiat seni dengan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad di FINAS baru-baru ini, beliau menyatakan jika FINAS tidak relevan, dia akan bawa perkara ini kepada kepimpinan baru untuk dikaji semula," katanya kepada Astro Gempak.



Zaki yang bertindak sebagai moderator acara itu juga melihat cadangan agar FINAS dibubarkan turut dipengaruhi faktor kekecewaan individu tertentu termasuk kewujudan banyak persatuan hiburan yang tiada hala tuju.

"Pada acara sama, Sharifah Amani ada mencadangkan agar wujud platform baru iaitu majlis seni terdiri daripada penggiat seni tanpa campur tangan ahli politik manakala tidak perlu persatuan hiburan yang dianggap mengarut," katanya.



Ujarnya, cadangan tersebut disambut baik ramai penggiat seni yang hadir pada masa itu termasuk Nik Nazmi yang sangat terbuka dan bersedia untuk membantu industri seni.

"Kita boleh adakan bermacam sesi terbuka tetapi apa jua keputusan adalah bergantung pada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

"Masalah dalam industri kita sebenarnya tiada 'collective voice' yang boleh diterima pakai semua penggiat seni. Seperti Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dengan Creative Content Industry Guild (CCIG) kononnya nak menyatukan penggiat seni tapi akhirnya entah ke mana," katanya.



Hadir sama pada acara itu, Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob bersama Timbalannya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (Pengurusan) dan Mohd Zulkifli Ab Wahab (Produksi dan Teknikal).

Zaki yang juga Pengurus Besar Akademi Latihan berkata, pembaharuan dan memperbetulkan sistem yang diguna FINAS sebelum ini perlu dilakukan untuk menjamin ia lebih telus.



"Saya yakin Menteri Komunikasi dan Multimedia baru tidak mahu mengamalkan amalan rasuah. Ini bukan soal nak tubuhkan kesatuan atau persatuan baru tapi faktor pemikiran dan sikap orang yang diberi tanggungjawab itu kononnya memperjuangkan hak dan memasarkan produk penggiat seni tapi apabila diberi mandat, ia lebih kepada agenda peribadi," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @sharifah_amani, @niknazminikahmad & Zaki Haji Abdul Rahim (Facebook)

#FINAS #Nik Nazmi #Zaki Abd Rahim
;