Laman Utama
Budak 6 Tahun Pandu Kereta: Bapa Sedang Tidur, Ibu Di Bilik Air - "Anak Nak Ke Kedai Beli Kereta Mainan"
Ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bersama adiknya berusia tiga tahun yang tular memandu kereta sebelum terbabas di Langkawi, mendedahkan situasi sebenar sewaktu kejadian dalam satu keterangan yang direkodkan oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pasangan yang berusia 28 dan 22 tahun itu telah dipanggil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan rakaman percakapan telah direkodkan.
Katanya, sewaktu kejadian dia berada di bilik air sementara suaminya sedang tidur.
“Menurut ibu kanak-kanak itu sebelum kejadian dia berada bersama dua anaknya berusia tiga dan enam tahun di ruang tamu rumahnya.
“Bagaimanapun ibu dua beradik itu masuk ke dalam bilik air untuk mandi dan sebaik keluar menyedari kedua-dua anaknya telah tiada di ruang tamu. Sebaik mencari di seluruh bahagian rumah tidak menemui anaknya lalu wanita itu mengejutkan suaminya yang sedang tidur di dalam bilik memaklumkan anak mereka telah hilang.
“Ketika suaminya ingin mengambil kunci kereta yang digantung di dinding mendapati kunci tiada dan pemeriksaan di luar rumah turut mendapati kereta tiada di hadapan rumah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Polis telah selesai merekodkan keterangan ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bersama adiknya berusia tiga tahun yang keluar dari rumah dan memandu kereta sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada malam Selasa.
Shariman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan keterangan daripada kanak-kanak enam dan tiga tahun itu belum dapat direkod sepenuhnya kerana masih trauma.
“Abangnya hanya mengatakan dia tarik dan naik ke atas kerusi lalu mengambil kunci kereta yang digantung di dinding dan selepas itu terus menghidupkan kereta ke kedai untuk membeli kereta mainan,” ujarnya.
Jelasnya, polis turut memperoleh rakaman video terbaru dari orang awam yang merekodkan keadaan kereta dipandu ke kiri dan kanan jalan sebelum kereta itu melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video