Pelakon Zara Zya meluahkan rasa syukur apabila laman web ciptaannya, 'Malaysia Prihatin' di bawah pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan berjaya dilaksanakan dan membuka peluang untuk orang ramai memberikan sumbangan.

Menurut Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 36, platfrom sumbangan yang dilancarkan sejak dua minggu lalu ini menawarkan enam kategori sumbangan untuk dipilih dan semuanya telah diperiksa terlebih dahulu.

“Malaysia Prihatin ni adalah satu platform yang Zara ciptakan untuk memudahkan orang ramai memberikan sumbangan ataupun pada sesiapa yang ingin anjurkan sebarang kempen kutipan derma.

“Laman web malaysiaprihatin.com ini lebih telus dan ia dilengkapi dengan pemberian resit untuk setiap sumbangan yang diberikan. Sumbangan juga boleh didermakan kepada enam kategori yang disediakan antaranya kemanusiaan, bencana, pendidikan, perubatan, keagamaan dan selebriti.

“Malah saya juga nak menunjukkan bahawa urusan pemberian sumbangan sekarang mudah, hanya di hujung jari sahaja,” ujar Zara kepada Gempak.

Zara ditemui pada acara Selebriti Prihatin Bersama Rumah Bakti Al-Kausar yang diadakan di Wisma Jakel, Seksyen 7, Shah Alam pada Selasa.

Acara pembelian baju raya dan berbuka puasa ini turut disertai oleh rakan selebriti seperti Jihan Muse, Fara Fauzana dan Shila Amzah.

Tambah pelakon drama bersiri Love You Mr Arrogant itu lagi, dalam membuat kebaikan, masih ada manusia yang memandang ke arah negatif dan menuduhnya dengan dakwaan yang tidak berasas.

“Ada orang yang pertikaikan saya buat Malaysia Prihatin ni sekadar nak menunjuk, dari dulu suka masuk Instagram, sekarang buat web pulak nak makan duit orang dan sebagainya.

“Benda tu sedikit sebanyak beri impak pada saya macam apa lagi manusia ni tak puas hati. Tapi apa yang mereka tak nampak, benda kebaikan ni perlu ditonjolkan dengan niat yang betul.

“Bukan tujuan nak show off ke apa tapi saya percaya benda baik macam ni bila kita tunjuk, mampu galakkan orang untuk menderma juga,” jelasnya lagi.