Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Buka Mulut Ada Bunyi Tulang” - Rahang Terkehel Tak Patahkan Semangat Farali Khan Berlakon Babak Aksi

Mya Amri
05/05/2023 12:50 MYT
Pelakon Farali Khan mengalami kecederaan dibahagian rahang ketika melakukan salah satu babak aksi dalam filem berjudul Tujuh Dua Belas.

Bagaimanapun kata Farali atau lebih mesra dengan panggilan Farah ini menyatakan kecederaan itu tidak terlalu serius dan telah menerima rawatan doktor.

“Ada satu kecederaan yang agak teruk berlaku ketika saya buat adegan berlawan dengan seorang pelakon, rahang saya terkehel.

“Sampai sekarang kalau saya buka mulut akan ada bunyi tulang seperti bergesel. Saya tidak akan dedahkan siapa pelakon itu.

“Kejadian berlaku apabila kami mengubah koreografi babak berlawan pada saat akhir. Saya pula tidak pernah berlawan dengan individu itu. Jadi, kurang keserasian antara kami.

“Saya sudah berjumpa doktor dan dimaklumkan keadaan tidak serius, jadi saya pun okay sahaja. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja,” katanya ketika ditemui Gempak.

Tambah Farah lagi, kecederaan yang dialami tidak mematahkan semangatnya untuk terus berlakon dalam filem aksi.

“Sebenarnya saya sangat seronok dapat melibatkan diri dalam filem. Memang ada kecederaan tapi saya memilih untuk tidak berkongsi semua.

“Bagi saya sebagai pelakon aksi itu perkara biasa, apabila terima tawaran untuk filem aksi, itu lah antara risiko yang perlu dihadapi,” jelasnya.

Selain Farali Khan, filem Tujuh Dua Belas turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Johan Asa’ari, Chintya Candranaya dan Adam Darwisyh

Filem Tujuh Dua Belas arahan Thrope Ali sudah pun ditayangkan bermula 4 Mei 2023 di pawagam seluruh negara.

#Filem #Cedera #Farali Khan #Tujuh Dua Belas #Babak Aksi #Rahang #Terkehel
;