“Kalau dia (warga Thailand) nak datang balik (ke Malaysia), dia kena bawa tomyam saja, jangan pula dia bawa dengan COVID-COVID sekali, bawa tomyam sudah."

Demikian rayuan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung pengumuman pembukaan sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.

Katanya lagi, ditambah dengan kes COVID-19 yang menunjukkan aliran meningkat, pihaknya berharap supaya prosedur operasi standard (SOP) dipantau dengan teliti.

"Perak ni sempadan kita dengan Thailand sahaja di Pengkalan Hulu. Dan itu adalah cadangan dan keputusan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN).

"Kita pun tiada halangan bab itu sebab ia dikatakan sebahagian daripada kaedah dan cara untuk memulihkan ekonomi.

Tetapi saya tengok tadi 17 ribu lebih kes. Kita tak tahu dari Thailand ini berapa banyak pula," katanya ketika mengulas berhubung persediaan kerajaan negeri mengenai pembukaan semula sempadan negara.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Perancangan Strategik MBI, Ipoh Bandar Rendah Karbon dan Walkable City 2030, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Dalam pada itu, beliau berkata pembukaan semula sempadan itu sekurang-kurangnya dapat membangunkan kembali ekonomi negara.

"Sekarang ni kita dapat rungutan ramai kedai masak tomyam tak buka-buka lagi, dua tahun dah... itu contoh.

"Jadi bila mereka (warga Thailand) ni balik (semula ke sini) ada la pertumbuhan ekonomi kepada Perak. Tapi kontra macam saya kata tadi.

"Kalau nak buka sempadan, dia punya SOP must very very tight (betul-betul ketat) dan dipatuhi kerana nanti yang jadi mangsa ialah rakyat Malaysia, khususnya Perak," tegasnya.

Semalam, media melaporkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menegaskan, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

AWANI