Pendakwah, Imam Muda Asyraf berpandangan kemunculan semula Azan menganggotai kumpulan Ruffedge tidak menjadi masalah daripada aspek imej yang pernah ditampilkan ketika bersama kumpulan Al-Mawlid.

Ujarnya, Azan yang juga orang lama dalam industri muzik lebih memahami keputusannya untuk kembali beraksi dengan Ruffedge.

"Kita anggap ia sebagai ijtihad dan bagi saya tiada masalah.

"Saya rasa dia membawa imej yang baik, orang yang dikenali sebagai orang yang baik. Mungkin penampilannya orang lain nampak kenapa dia bergini.

"Saya menghormati keputusannya sebab industri kita ini berbeza seperti orang yang duduk dalam bidang agama semata-mata tetapi tidak berada dalam bidang hiburan yang mempunyai perspektif berbeza," katanya kepada Astro Gempak.

Beliau menambah, soal hijrah seorang artis bukan hanya terletak pada persembahan selagi apa yang ditampilkan ada suatu perkara yang bagus.

"Bukan 24 jam dia membawa imej sebegitu (bersama Ruffedge). Dia juga ada jadi diri dan buat 'comeback' untuk mengimbau kembali kenangan selain tarik perhatian rakan dan peminat dahulu," katanya.

Asyraf percaya Azan mempunyai jawapan tersendiri apabila menyertai Ruffedge.

"Saya belum berjumpa dengannya untuk bertanyakan pandangannya tapi saya tahu dia orang yang cerdik.

"Sebagai nasihat pada orang lain dan diri sendiri, kita kena pastikan mempunyai jati diri, kekuatan dan bijak memilih.

"Jika kita sudah berhijrah dan kemudian patah balik, ia adalah perkara biasa kerana apabila mahu berhijrah, godaan akan datang berantai-rantai tapi kuatkan diri cari rakan dan berdamping dengan orang soleh.

"Insha Allah ia akan membantu kita kerana ketika bersendirian ia akan menjadi masalah untuk berhijrah," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi