HIBURAN

Bukan Awie Mahupun Ella Tapi Bapa Nabila Huda Yang Serang Shila Amzah

Asyraf Roslan 13/07/2025 | 22:55 MYT

Penyanyi, Shila Amzah menafikan penyanyi Ella dan Datuk Awie adalah individu yang terlibat dalam insiden serangan di konsert ulang tahun ke-20 Mr. DIY baru-baru ini.

Malah pelantun lagu Tiada Dirimu itu juga turut meminta netizen agar berhenti daripada terus menuduh Awie.

“Yang pasti bukan Kak Ella, Datuk Awie siapa yang cakapn Datuk Awie itu tolonglah berhenti dan bukan nama-nama lain yang berada di konsert hari itu,” katanya kepada Gempak.

Meskipun tidak menyebut nama, Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 34, mengesahkan bahawa individu yang menyerangnya adalah bapa kepada pelakon, Nabila Huda.

“Bapa kepada Nabila Huda, Saya mengesahkan bahawa bapa kepada Nabila Huda yang menyerang.

“Kalau tengok kepada report saya rasa keterangan sudah diambil daripada pihak dia, jadi kita tunggu sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shila turut menyatakan bahawa tindakannya membuat laporan polis bukanlah untuk merosakkan nama mana-mana individu.

“Saya buat ni bukan nak burukkan nama sesiapa tapi apa yang salah, salah la. Apa yang menyebabkan sesuatu negatif kepada orang lain salah la. Benda ini tak sepatutnya berlaku,” tambahnya.

Terdahulu, Shila mendakwa telah diserang oleh seorang penyanyi legenda semasa sedang melakukan 'sound check' untuk konsert ulang tahun Mr.DIY.

Shila turut dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung insiden ini dan kes kini dalam siasatan.

Selain Shila, penyanyi yang turut memeriahkan konsert tersebut adalah Ella, Datuk Awie dan Datuk Amy Search.
#Nabila Huda #Ella #Datuk Awie #Shila Amzah #Datuk Amy Search