Hiburan
Bukan Buka Aib, Shila Amzah Mahu Mangsa Keganasan Rumah Tangga Bangkit - “Tolong Bezakan Buka Aib Dengan…”
Penyanyi, Shila Amzah menegaskan bahawa dia membuat perkongsian mengenai keganasan rumah tangga bukan kerana dia mahu membuka aib namun hanya mahu memberi kesedaran kepada mangsa untuk berani bersuara dan mencari jalan keluar.
Jelas Shila, sebagai individu yang pernah melalui detik hitam itu, dia mahu lebih ramai mangsa bangkit serta masyarakat sedar isu keganasan rumah tangga ini bukanlah satu isu yang mudah.
“Sebagai seseorang yang pernah melalui perkara yang sama, perkara ini trigger saya sebenarnya.
“Bila saya kongsi perkara tersebut ada pihak yang kata jangan buka aib, ini bukan buka aib tolong bezakan buka aib dengan cuba memberi kesedaran untuk orang lain mempunyai sinar harapan, sebab itu saya bersuara.
“Saya adalah public figure, jadi saya rasa terpanggil untuk bercakap kerana orang yang sedang melalui tak kira perempuan atau lelaki boleh berfikir untuk keluar daripada hubungan itu atau mereka yang kaki pukul ini akan sedar masyarakat sudah mula peka dengan isu ini.
“Sebab bila orang biasa bercakap mungkin ada yang akan pandang enteng namun kalau ada orang seperti saya mula bersuara baru mereka akan takut sedikit,” katanya kepada Gempak.
Shila berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di program MeleTOP yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, pada Selasa.
Sementara itu, Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata suaminya, Ubai terkesan apabila ada warganet mendakwa hantaran mengenai isu keganasan rumah tangga dibuatnya itu ditujukan kepadanya.
"Ubai kecewa (dalam nada seloroh). Saya cakap dengan dia bukan ditujukan kepada dia. Ubai cakap ramai netizen dekat media sosial dakwa dia pukul saya." ujar Shila.
Pada masa sama, Shila turut menyatakan sebagai suami, Ubai banyak membantunya untuk mengharungi trauma yang dialaminya.
Untuk rekod, Shila pernah mendirikan rumah tangga bersama Haris Edraki pada 2018 namun berpisah pada Februari 2022. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya maya lelaki, Seth Uwais.
Shila kemudian mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan pempengaruh, Ubai MZ pada Ogos tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira pada 9 Mei lalu.