HIBURAN

Bukan Calang-Calang… Dian Sastrowardoyo Puji Idan Aedan - “Dia Seorang Pelakon Yang Sangat…”

Umirah Halim 19/08/2025 | 09:55 MYT
Pelakon tersohor Indonesia, Dian Sastrowardoyo meluahkan rasa kagum terhadap bakat lakonan pelakon muda Malaysia, Idan Aedan selepas digandingkan bersama dalam filem terbaharu berjudul Fox King.

Menerusi temubual bersama Tatler Indonesia, Dia kongsi filem tersebut memberi pengalaman bermakna buat dirinya kerana berpeluang bekerjasama dengan barisan pembikin filem dan pelakon dari negara serantau.

“Fox King menarik kerana ia adalah salah satu peluang pertama untuk saya dapat berkongsi dengan pembuat filem dari negara-negara jiran. Pembuat filem ini adalah gabungan Indonesia dan Malaysia, malah ramai juga datang dari negara lain untuk bekerjasama,” katanya.

Jelas Dian lagi, kolaborasi itu bukan sahaja membuka ruang baharu tetapi turut menemukan dia dengan tenaga kerja serta pelakon muda berbakat dari Malaysia.

“Secara kreatif, saya dapat bekerjasama dengan seorang pembuat filem Malaysia yang kini tinggal di Jepun, dan pengalamannya sangat berbeza.

“Saya juga dapat bekerjasama dengan pelakon dari Malaysia seperti Idan Aedan. Dia seorang pelakon yang sangat baik hati,*” ujarnya.

Tambah pelakon filem Ada Apa Dengan Cinta itu, Idan sebelum ini pernah digandingkan bersama rakan artisnya, Adinia Wirasti, sekali gus mewujudkan suasana kerja yang lebih serasi.

“Idan juga telah bekerjasama dengan pelakon saya, Adinia Wirasti. Jadi bila kami bertemu, kami berkongsi ramai kawan yang sama. Bekerjasama dengan mereka membuatkan saya sedar bahawa kerja seorang pelakon yang baik, atau seorang pembuat filem, sebenarnya tidak terikat dengan bahasa.”

Dian menegaskan bahawa seni lakonan merupakan bahasa universal yang mampu difahami oleh sesiapa sahaja walau datang dari latar berbeza.

“Pembuat filem di Indonesia, Malaysia dan Jepun menggunakan bahasa yang sama. Teknik dan lakonan juga adalah bahasa yang sama.

“Apabila bercerita, anda menggunakan empati dan sensitiviti untuk melihat seorang pelakon dan bagaimana anda membentuk watak. Saya rasa itu melampaui nasionaliti. Itulah bahasa universal,” katanya.

Menerusi perkembangan lain, Idan bakal muncul dengan filem baharu berjudul Abah Saya Uncle Mike yang diinpirasikan daripada kisah benar.

Dalam naskhah bergenre drama yang akan menemui penonton di pawagam bermula 28 Ogos ini, Idan memegang watak sebagai Rafei, abang sulung daripada tiga adik beradik yatim piatu yang kemudian dijaga oleh seorang lelaki Cina, Uncle Mike (lakonan Andy Teh).

Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki yang membesarkan tiga anak Melayu yatim piatu sejak kecil, lengkap dengan kasih sayang dan bimbingan rohani termasuk penghormatan terhadap agama Islam.

Dedikasi Uncle Mike turut diiktiraf apabila beliau dianugerahkan Anugerah Maulidur Rasul 2024 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas jasa dan pengorbanannya yang luar biasa.

Terbitan Astro Shaw bersama Etika Sdn. Bhd., Abah Saya Uncle Mike mengetengahkan tema kekeluargaan, perpaduan dan kasih sayang merentas bangsa. Ia dibintangi Andy Teh bersama pelakon muda berbakat seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, dan turut menggunakan tiga bahasa, Melayu, Mandarin dan Kantonis.

Sinopsis.

Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang kejam bersama adik-adiknya. Namun, mereka akhirnya terpisah. Dalam perjuangan menyatukan semula keluarga, mereka dipertemukan dengan Uncle Mike, lelaki Cina berhati emas yang mengubah takdir hidup mereka.

Filem ini menegaskan bahawa keluarga bukan sekadar pertalian darah, dan kasih sayang sejati tidak mengenal kaum mahupun agama.

#Dian Sastrowardoyo #Puji #aeden #idan