Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Bukan Darah! Aina Abdul Perjelas Maksud Gaun Hitam AJL35

Amri Hassan 14/03/2021 | 15:38 MYT
Nyaris-nyaris mencetuskan kontroversi sekali lagi menerusi busana yang dipakai di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), penyanyi Aina Abdul tampil menjelaskan maksud di sebalik gaun terbabit.
Kata Aina, gaun hitam itu diinspirasikan berdasarkan setiap patah lirik lagu Semalam.
"Topi yang direka menjadi seperti sebuah tempat tidur seorang bayi atau kanak-kanak kecil adalah hasil interpretasi lirik “tinggal ku sendiri, ditemani jasad ini”.
'Bait kata “jasad ini” itu adalah metafora kepada figura seorang bayi atau kanak kanak kecil yang ada bersama-sama wanita ini sewaktu berlakunya kisah “SEMALAM”.
"Jaket bersiluet besar dengan perincian susunan kain pleated yang kelihatan sarat adalah menggambarkan kisah penderitaan yang dialami oleh wanita itu sangat berat dan banyak sekali.
"Perincian pleated pada jacket tersebut dipilih hasil inspirasi daripada daun palas kipas atau “palm tree”.
"Ini adalah interpretasi seni reka fesyen terhadap lirik “diri ini bagai daun gugur”. Warna hitam juga dipilih untuk melambangkan daun tersebut sudah tua dan kering dan sudah layu. Ia juga simbolik kepada perkataan “SEMALAM” yang selalu dikaitkan dengan warna hitam dan gelap," ceritanya menerusi posting di Instagram.

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul)

Selain itu, helaian tersebut diinspirasikan daripada pakaian tradisional Vietnam, Ao Dai.
"Helaian bahagian dalam busana ini yang dicedok dari rekaan pakaian tradisional Vietnam Ao Ďai atau “long tunic” adalah lambangan kepada sifat seorang wanita yang feminin dan ayu.
"Ia diperbuat dari material lembut dan polos yang menggambarkan hati seorang wanita yang mudah rapuh dan cepat tersentuh. Perincian kain pleat yang membentuk satu imej bulat dibawah helaian jaket bermaksud seperti wanita ini sedang berdiri di atas daun yang terapung," tambahnya.
Manakala, warna merah pada bahagian belakang gaun pula melambangkan kesan luka.
"Tidak ketinggalan, perincian kain pleated berwarna merah di belakang jaket melambangkan kesan luka “SEMALAM”.
Konsep persembahan Aina juga turut diceritakan menerusi lirik lagu ciptaannya itu.
"Parachute atau payung terjun dipilih sebagai elemen terbesar dalam reka bentuk busana Aina Abdul di Anugerah Juara Lagu 35 bagi melambangkan imej daun gugur yang ditiup angin.
"Imej grafik yang dipancarkan di atas kain adalah lambangan kepada bait “calar ungu” yang terdapat di dalam lirik “Engkau pergi jua, tinggal ku sendiri dengan seribu calar ungu”.
"Gerakan penari yang menolak-nolak kain parachute dari dalam melambangkan kesan lebam sebagai interpretasi maksud “calar ungu”.
"Wanita ini juga menyampaikan kisahnya bersama dengan penari-penari yang berada di dalam parachute. Ini lambangan kepada situasi dimana wanita ini mewakili insan-insan lain yang turut merasai penderitaan yang sama," ujar Aina lagi.
Aina mencuri tumpuan menerusi persembahan penuh beremosi menerusi lagu Semalam di pentas AJL35.
#Aina Abdul #Darah #AJL35 #Gaun Hitam
;