Hiburan
"Bukan Di Pawagam? Tak Apa, Tonton Di Rumah Boleh Gelak Ramai-Ramai Satu Family" - Pengarah Keluarga Iskandar The Movie
Penerbit Eksekutif dan Pengarah filem Keluarga Iskandar The Movie (KITM) Wan Hasliza Wan Zainuddin akui tidak terkilan apabila filem berkenaan tidak ditayangkan di pawagam.
Wan Hasliza sebaliknya menyifatkan situasi yang terjadi akibat pandemik COVID-19 ini mempunyai hikmahnya tersendiri.
Jelasnya, memang pada awalnya KITM dirancang untuk dipaparkan di pawagam sebelum kemudiannya di Astro First.
"Namun disebabkan pandemik ini, kita terpaksa tukar plan asal. Jauh di sudut hati nak kata tak kecewa tu tipu lah.
"Tapi melihat keadaan sekarang rasanya ada hikmah filem ini ditayangkan di Astro First," katanya.
Menurutnya lagi, disebabkan filem KITM adalah berkonsepkan keluargaan agak sukar untuk penonton membawa satu isi rumah untuk menonton memandangkan SOP wayang kini perlu ada penjarakan sosial.
"Kita punya sasaran adalah family jadi jika penonton tak boleh bawa ramai-ramai duduk rapat-rapat jadi tak best pula.
"Kalau di rumah boleh enjoy ramai-ramai gelak sama-sama. Lebih meriah," katanya.
Untuk rekod, KITM mengisahkan Keluarga Iskandar merancang untuk konvoi bersama ke majlis perkahwinan Faris iaitu bekas teman lelaki Adibah di Pontian, Johor.
Walaubagaimanapun perjalanan ke majlis Faris agak lambat kerana Mak Jah asyik memaksa keluarganya menyinggah ke setiap satu rumah sepanjang perjalanan ke Pontian.
Akibat terlalu bosan, Princess dan Dardar telah merancang untuk ke taman tema tanpa pengetahuan keluarga mereka.
Kehilangan mereka berdua telah menggemparkan keluarga Iskandar.
Temui karakter-karakter kesayangan anda menerusi filem KITM yang ditayangkan terus ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 bermula 16 Julai 2020.
Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.