Polemik dua juara Gegar Vaganza 2019 masih hangat diperkatakan sejak Ahad lalu.

Bagi yang terlepas, buat pertama kali dalam sejarah industri hiburan tempatan, GV2019 telah menobatkan Naqiu Boboy dan Hady Mirza sebagai juara bersama musim ini.

Sebenarnya, situasi sama pernah berlaku beberapa kali dalam sejarah penganjuran anugerah lain di luar negara misalnya Oscars!

Ya, enam kali situasi pemenang berkongsi gelaran juara dalam beberapa kategori terjadi sejak trofi Oscars (Academy Awards) diperkenalkan. Jom semak!

1. Pelakon Terbaik 1932

Sistem undian pada tahun itu berbeza daripada sekarang. Sekiranya seseorang calon mendapat perbezaan tiga undian, individu itu layak untuk menerima anugerah sama dengan pemenang.

Ketika itu pelakon Fredric March (Dr. Jekyll and Mr. Hyde) mendapat undian lebih satu undi daripada Wallace Beery (The Champ). Jadi kedua-duanya menang kategori sama.



2. Pelakon Wanita Terbaik 1969

Ini situasi kedua dan terakhir trofi pelakon terbaik dibahagikan dua.

Ketika itu pelakon baharu Barbra Streisand, 26, memperoleh jumlah undian sama dengan pemenang Oscars dua kali, Katharine Hepburn, 61, iaitu 3030 undian.



3. Dokumentari Terbaik 1987

Anugerah itu disampaikan oleh Oprah Winfrey kepada pemenang bersama Artie Shaw: Time is All You've Got dan Down and Out in America yang mengisahkan kehidupan seorang pemain klarinet dan kisah kemiskinan di Amerika Syarikat pada tahun 1980-an.

4. Filem Pendek Terbaik 1995

Kategori filem pendek (live action) pada tahun itu telah menobatkan filem Britain berdurasi 23 minit, Franz Kafka's It's A Wonderful Life dan filem LGBTQ, Trevor sebagai pemenang bersama.

5. Suntingan Bunyi Terbaik 2013

Ini yang terakhir kali berlaku di Oscars! Ketika itu pelakon Mark Wahlberg mengumumkan kategori tersebut punyai dua pemenang.

Filem Zero Dark Thirty dan Skyfall kedua-duanya memenangi kategori sama Suntingan Muzik Terbaik ketika itu.



Jadi, situasi dua pemenang bukanlah asing bagi industri hiburan antarabangsa biarpun ia baru berlaku di Malaysia.

Benar seperti kata juri tetap GV2019, Datuk Ramli MS, sekiranya kedua-dua calon juara itu bagus, tidak ada salahnya untuk mereka berkongsi takhta juara dalam sesebuah pertandingan!

Bagi yang terlepas untuk menonton GV2019, layari laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.

Sumber: Mentalfloss