HIBURAN
Bukan Hal Yang Mudah! Andmesh Akui Jarang Bawa Lagu ‘Hanya Rindu’ - “Setiap Kali Bawa Lagu Ini Saya Akan…”
Penyanyi Indonesia, Andmesh Kamaleng memilih untuk tidak selalu menyampaikan lagu Hanya Rindu setiap kali membuat persembahan atau konsert.
Meskipun lagu tersebut popular dalam kalangan peminat namun menurut Andmesh, dia akan memilih lokasi yang tepat untuk mempersembahkan lagu tersebut kerana proses menyampaikan naskah itu menuntut emosi dan tumpuan yang sangat mendalam.
“Saya secara jujurnya jarang sekali bawa lagu Hanya Rindu di konsert live, saya akan memilih lokasi yang mana saya akan sampaikan lagu itu.
“Sebab setiap kali saya nyanyikan lagu itu ia memerlukan effort yang lebih kerana saya perlu ingat kenangan saya bersama ibu. Jadi untuk menyanyikan lagu ini saya memerlukan emosi dan fokus yang sangat kuat supaya saya boleh sampaikan lagu itu dengan baik sekali,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Andmesh mengakui dirinya sering mengalirkan air mata ketika menyampaikan lagu tersebut terutamanya apabila ia perlu dipersembahkan di hadapan keluarganya sendiri, termasuk adik perempuannya.
“Setiap kali saya bawa lagu ini saya akan berderai air mata, lagi-lagi bila saya bawa lagu ini dihadapan keluarga saya terutamanya adik perempuan saya.
“Itu merupakan hal yang paling sukar sekali bila nak sampaikan lagu ini. Kerana saya tahu betapa sulitnya bagi dia yang masih kecil ditinggalkan ibu dan saya perlu mewakilkan perasaan saya dan dia jadi ia sangat sukar untuk saya,” ujarnya.
Andmesh akan membuat kemunculan di Konsert Festival Tentang Cinta yang akan berlangsung pada 9 Ogos 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC).
Selain Andmesh, konsert itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ziva Magnolia, Hael Husaini, Adira, dan Ara Johari.
Harga tiket konsert Festival Tentang Cinta akan mula dijual pada harga RM988 (VVIP), RM488 (VIP), RM288 (Gold), dan RM158 (Silver).
Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman rasmi: www.ticket2u.com.my.
Must-Watch Video