Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Bukan Lagi RM20,000, Kos Haji Meningkat Sehingga RM40,000

Gempak 18/09/2021 | 10:50 MYT
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham menjangka kos haji pada tahun depan boleh meningkat sehingga RM40,000 bagi seorang jemaah.
Hal itu terjadi berikutan mengambil kira penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh Kerajaan Arab Saudi.
Menerusi laporan Berita Harian, beliau dipetik berkata tidak mustahil peningkatan mendadak berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk penjarakan fizikal yang memaksa penginapan jemaah dihadkan kepada dua orang sebilik, pengangkutan dan ujian saringan COVID-19.
"Jika dulu, satu bilik hotel boleh memuatkan sehingga lima orang, tetapi apabila ia dihadkan kepada dua orang, kemungkinan untuk penginapan saja akan mencecah sehingga RM17,000 seorang.
"Begitu juga perbelanjaan lain, termasuk pengangkutan ke Madinah pasti akan mempengaruhi peningkatan kos," katanya kepada BH, semalam.
Tabung Haji (TH) menjangka kos haji akan meningkat pada musim haji akan datang susulan perubahan SOP ibadah itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan pandemik COVID-19.
Razali berkata, sekiranya kos haji naik secara mendadak, antara kesan yang membimbangkan adalah ramai jemaah terlepas peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci kerana tidak berkemampuan.
"Sebelum COVID-19, kos bagi seorang jemaah adalah RM20,000 dengan subsidi diberikan TH sebanyak RM10,000.
"Bagaimanapun, persoalannya jika jumlah subsidi TH pada kadar sama, tentu ramai tidak mampu menanggung kos dan terpaksa menolak giliran haji," katanya.
Beliau berharap TH dapat mempertimbangkan untuk menyerap kenaikan kos itu melalui keuntungan daripada pelaburan institusi itu yang dikecualikan daripada cukai pendapatan.
"Sebanyak 28 peratus keuntungan pelaburan TH dikecualikan (daripada cukai pendapatan), jadi jika boleh kita berharap TH tanggung lebihan kos kenaikan ini bagi mengelak ramai yang tidak berkemampuan untuk pergi.
"Saya kira jika perbelanjaan haji perlu ditanggung seorang jemaah naik dalam kadar RM5,000, ia masih boleh diterima dengan kos lain diserap oleh TH," katanya.
Razali turut yakin TH berupaya menanggung pertambahan kos itu mengambil kira jangkaannya berkemungkinan jemaah haji yang dibenarkan ke Tanah Suci masih dihadkan.
"Saya menjangka disebabkan pandemik masih berlarutan, mungkin kuota haji kurang daripada 10,000 saja jemaah tanah air akan mengerjakan ibadat itu," katanya.
Bagaimanapun menerusi laporan Awani, kerajaan hari ini memberi jaminan subsidi mengerjakan haji akan dikekalkan meskipun kemungkinan berlaku peningkatan kos di masa hadapan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau berkata kos sebenar bagi mengerjakan haji belum diputuskan dan akan dibincangkan yang diharap tidak membebankan bakal haji.
Kredit Foto: Time Magazine
#Mekah #Umrah #Haji #Arab Saudi #Kos #Tabung Haji
;