Hiburan
"Bukan Mudah Berpantang Tanpa Baby" - Yatt Hamzah
Pelakon Yatt Hamzah mengaku tidak mudah untuk mengawal emosi selepas mengalami keguguran anak kelima pada 15 September lalu.
Menurut Yatt, perasaannya berada dalam keadaan rapuh selama 14 hari berpantang.
"Alhamdulillah harini dah habis tempoh berpantang dua minggu selepas keguguran pada 15 September lalu. Ada temu janji dengan Dr Asmah Yun di Hospital Pusrawi.
"Wallahi bukan mudah berpantang tanpa bayi, emosi tak stabil. Sangat rapuh. Sebab itu perlu ada sokongan dari keluarga terutama dari suami. Terima kasih suami syurgaku @zulfadhli_khiruddin.
"Namun Alhamdulillah masih ada kakak-kakak baby. Hawa pun masih lagi baby. Harini baru masuk 9 bulan. Happy 9 months old anak bonda Suci Hawa Zulaikha.
"Alhamdulillah bonda bersyukur walaupun tiada rezeki nak menimang anak kelima, bonda masih ada empat lagi anak yang perlu diberikan perhatian untuk dibesarkan dan dididik dengan sempurna.
"Insya-Allah amanah Allah ini akan tetap jadi keutamaan. Semoga Allah terus beri kekuatan dan kesabaran buat bonda dan semua ibu-ibu di luar sana yang tak pernah sunyi diduga dengan pelbagai ujian," tulisnya di Instagram (IG).
Dalam pada itu, Yatt, 40, berharap agar golongan ibu yang ditimpa nasib sama sepertinya akan terus kuat dan menerima suratan takdir.
"Buat ibu-ibu yang pernah dan sedang mengalami keguguran seperti bonda, jangan bersedih. Percayalah inilah yang terbaik buat kita. Mungkin kehamilan itu akan membawa mudarat yang lebih buruk buat si ibu atau bayi itu sendiri.
"Sebab itulah Allah menjadikannya sebegini kerana Allah lebih tahu sedangkan kita manusia tiada daya upaya dan tak tahu," tulisnya lagi.
Yatt mendirikan rumah tangga dengan juruvideo Mohamad Zulfahdli Khairuddin pada Februari 2016.
Menerusi perkahwinan kedua Yatt itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Suci Humaira Iqlima, Suci Hayfa Medina dan Suci Hawa Zulaikha.
Sementara dalam perkahwinan pertamanya yang terdahulu, Yatt mempunyai seorang lagi anak iaitu Suci Hanania Malika.
Must-Watch Video