Penerbit dan pengarah, Michael Ang menawarkan ganjaran sebanyak RM500 seorang kepada individu yang melakukan kuarantin kendiri sepanjang pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Kata Michael, 45, tujuan dia melakukan adalah untuk memberi semangat kepada rakyat Malaysia bagi mengurangkan pergerakan dalam usaha menangani wabak Covid-19.

"Salam semua. Ini bukan aku nak buat content atau nak jadi popular atau saya nak jual produk. Cuma harap saya mampu galakkan rakyat Malaysia melakukan kuarantin sendiri.

"Kalau posting ini dapat buat 100 orang lakukan kuarantin sendiri pun saya dah bersyukur! Kita boleh lakukan ini Malaysia!

"Anda semua boleh melakukannya. Sayang semua!," katanya menerusi satu hantaran di Instagram (IG).

Tambahnya, tawaran ini juga boleh disertai oleh individu yang terpaksa keluar bekerja.

"Maaf mungkin tak jelas pasal kuarantin sendiri.. Bukan bermakna kalau kena kerja tak boleh kuarantin sendiri ya.

"Pergi dan balik kerja saja. Makan bungkus saja dari rumah dan makan di pejabat," katanya lagi.



Dalam pada itu, pengarah drama Marry Me Senorita menyatakan penyertaan itu dibuka bermula 23 Mei hingga 8 Jun ini.

"Sesiapa yang mahu kreatif dipersilakan untuk menghantarkan bukti mereka melakukan kuarantin sendiri kepada saya bermula hari ini. Duit akan saya berikan pada 10 Jun," tambahnya.

Terdahulu, kerajaan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei hingga 7 Jun.