Suami pelakon Miera Leyana, Rosland Othman berpegang teguh pada prinsip dirinya untuk tidak berkongsi perihal peribadi kepada orang ramai.

Jelas Rosland, 47, kisah keluarga dan dirinya tidak perlu digembar-gemburkan atau diberikan publisiti meluas.

"Saya seorang yang menjaga privasi, apabila berkahwin dengan Miera saya jadi segan sebab dia selebriti.

"Tapi saya masih kekalkan segala kehidupan saya secara peribadi.

"Cuma selagi mana boleh saya lindungi keluarga, saya akan buat. Untuk majlis resepsi ini, keluarga pun gembira dan itu yang penting bagi saya.

"Saya tidak boleh menghalang netizen untuk terus bercakap sebab saya tahu kalau kita buat benda baik pun orang tetap akan kutuk kita.

"Jadi, biarlah kita teruskan hidup dengan moral kita. Kita ada agama, hormat ibu bapa dan sebagainya," katanya kepada Gempak.

Rosland ketika mengulas mengenai spekulasi netizen mendakwa dia telah berkahwin dan punyai anak yang ramai sebelum ini, usahawan itu pasrah.

BACA: Miera Leyana Pilih Lelaki 40-an Jadi Suami

BACA: Didakwa Kahwin Suami Orang Anak 7, Ini Jawapan Miera Leyana

BACA: "Tak Kisahlah Kalau Saya Isteri Pertama, Kedua, Ketiga Pun, Bukannya Salah" - Miera Leyana Okey Berpoligami


"Ia satu hal peribadi pada saya. Kalau saya mula bercakap hal keluarga, rasanya saya tidak perlu berkongsi kepada orang luar sebab saya hidup pun bukan atas ihsan mereka.

"Bukan mereka yang sediakan breakfast untuk saya bila bangun pagi. Bukan saya yang suap mereka makan tengah hari.

"Jadi, saya tak perlukan publisiti, saya hormati Miera dalam bidang ini dan kalau netizen nak kata apa-apapun, ia tak menjejaskan saya pun.

"Saya berkahwin dengan Miera bukan nak tumpang populariti dia pun. Saya melihatnya sebagai seorang wanita yang baik malah hubungan dengan keluarganya pun akrab," tambahnya.

Pasangan itu telah diijabkabulkan pada 26 Julai lalu di St. Regis Kuala Lumpur dalam majlis yang gilang-gemilang.

Bagaimanapun, pasangan itu menjadi bualan warganet apabila Rosland didakwa pernah berkahwin dan miliki 7 cahaya mata.