Seorang lelaki yang sudah berumur dilihat masih membanting tulang dengan menjual air kelapa muda menggunakan sebuah lori di tepi jalan berhampiran kawasan Bandar Puteri, Klang, Selangor.

Kisah ini tular selepas seorang pengguna Twitter, @AidaAidil yang juga merupakan salah seorang pelanggan itu berkongsi di akaun miliknya.

Ketika dihubungi Gempak, Aida menyatakan warga emas yang dikenali dengan nama Sood itu sudah berumur 80 tahun.

Malah, katanya sudah beberapa kali dia singgah untuk membeli dan hanya Pakcik Sood sendirian meniaga.

"Saya memang selalu ulang-alik jalan itu, dekat saja dengan rumah. Dah banyak kali saya singgah untuk beli air kelapa muda.

"Pakcik ini umur dia dah 80 tahun. Dulu dia sebagai imam di sebuah masjid. Pakcik ada bagitahu yang dia kerja ini untuk membayar bil.

"Malah, anak bongsunya antara yang terjejas disebabkan Covid-19. Dia baru saja dapat kerja baru.

"Mula-mula tu saya bantu dengan membuat satu bunting untuk digantung. Senang pengguna jalan raya lain boleh nampak bila lalu dekat situ. Bila dah kongsi dekat media sosial dan viral, ramai pula yang ingin sama-sama menghulurkan sumbangan," katanya.

Tambah pemilik nama Che Engku Nur Aida, dia tidak menyangka berjaya mengutip satu jumlah yang banyak dalam tempoh 24 jam.

"Rakyat Malaysia memang pemurah. Terima kasih semua. Saya sendiri tak sangka akan dapat jumlah sebanyak itu.

"Petang semalam saya sudah serah wang tunai sebanyak RM1500 tapi masih ada baki lagi.

"Akaun saya telah disekat jadi saya perlu ke bank untuk selesaikan. Lagipun takut la nak bagi tunai yang banyak, bahaya untuk keselamatan pakcik," katanya lagi.Bagaimanapun, tindakan wanita berumur 30 tahun ini berkongsi kisah pakcik itu membuatkan ahli keluarga berasa kurang senang.

Tidak ingin mengeruhkan keadaan, Aida bersedia untuk bertemu dengan ahli keluarga pakcik itu.

"Saya ada terima kiriman mesej dari cucu pakcik ini yang mengatakan keluarganya tidak senang hati dengan tindakan saya. Saya dapat tahu ahli keluarga pakcik ini takut untuk keluar rumah sebab netizen dah 'serang'.

"Saya mesej anak sulungnya juga untuk memohon maaf di Facebook. Saya tidak berniat untuk membuka aib keluarga mereka.

"Saya akan bersemuka dengan mereka nanti untuk bincang dan kenal pakcik lebih dekat. Apa yang saya tahu nak menolong tak perlu nak selidik sampai lubang cacing.

"Cukup niat dan amanah yang saya pegang. Lagipun, saya bukan seorang Youtuber yang mencari content.

"Saya hanya membantu setakat yang mampu. Jadi buat masa sekarang, saya hentikan dulu daripada menerima sumbangan orang ramai. Saya nak selesaikan dulu isu ini," kata Aida.

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian video yang dimuat naik pada 3 Februari telah mendapat hampir 270,000 tontonan.