Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Bukan Pegang Tapi Peluk Tangan…”- Sharnaaz Ahmad Dedah Siapa Wanita Yang Dibawa Bersama Ke Tayangan Perdana Polis Evo 3

Syafiqah Jalal
19/05/2023 05:34 MYT
Aktor Sharnaaz Ahmad tampil menjelaskan hubungannya dengan gadis yang dilihat mesra hadir memeluk tangannya ketika Malam Gala Tayangan Perdana Filem Polis Evo 3, di TGV, KLCC malam tadi.

Berkata kepada Astro Gempak, Sharnaaz memberitahu dia dan gadis yang juga seorang pelakon baharu bernama Amelia Christie itu masih berada dalam fasa berkawan.

“Saya dan dia tadi dilihat bukan berpegangan tangan tapi peluk tangan sahaja. Apa yang boleh saya katakan kami masih dalam fasa berkawan.

“Saya okey (terbuka) sahaja bawa dia bersama kerana saya berkawan dengan semua,” katanya yang ditemui selepas sidang media filem Polis Evo 3 semalam.

Kehadiran Sharnaaz bersama gadis itu mencuri perhatian ramai selepas pertama kali mereka membuat kemunculan berdua di tayangan perdana berkenaan sehingga tamat.

Terdahulu foto gadis itu bersama Sharnaaz tular selepas dia didakwa merupakan kekasih baharunya.

Dalam pada itu, Sharnaaz turut mengulas mengenai dakwaan dia telah mengawal wanita tersebut. Katanya, tidak salah untuk berbuat demikian sekiranya ke arah kebaikan.

“Saya rasa kalau nak kawal dia, saya yang perlu kawal, jadi suka hati saya lah. Bagi saya, apabila kawal seseorang itu bermakna kita ambil peduli. Itu hak dia.

“Bagi saya, kawal itu ada banyak fasa, kawal itu untuk dia jadi yang terbaik. Kalau kawalan kita terlalu merepek, merepeklah jadinya. Kalau kawal ke arah kebaikan, apa salahnya daripada dia jadi mat rempit atau bohsia,” tegasnya.

Sementara itu, disoal mengenai penerimaan anak lelakinya, Jebat Jayden terhadap wanita tersebut, aktor berusia 37 tahun itu berkata, perkara itu perlu mendapatkan penjelasan daripada anaknya sendiri.

Bagaimanapun, dia melihat, hubungan tersebut masih boleh diteruskan.

“Kalau soal itu lebih baik tanya Jebat, saya tidak berani cakap untuk pihak dia. Dia pandai jawab.

“Tetapi apa yang saya lihat, masih boleh diteruskan lagi, kita lihat sejauh mana dia pergi,” ujarnya.

Terdahulu, Sharnaaz pernah memaklumkan bahawa dirinya sedang berkawan rapat dengan seseorang, namun enggan berkongsi terperinci mengenai hal itu yang dianggap peribadi.

Malah nama aktres Amelia Christie menjadi sebutan ramai selepas sahabat karib bekas isterinya, Noor Nabila iaitu Rosix yang dikatakan terlepas menyebut nama aktres berkenaan.
;