Laman Utama
Bukan Sahaja Pink, Gelang Kuarantin Ada Lima Warna. Lapor Pada Polis Jika Ternampak!
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan gelang tangan atau tag kuarantin COVID-19 tidak hanya berwarna merah jambu, sebaliknya terdiri daripada lima warna berbeza.
Menerusi laman sosial Facebook rasmi, KKM memberitahu selain merah jambu, terdapat juga gelang berwarna putih, biru, merah dan kuning yang digunakan.
Gelang kuarantin adalah tanda yang dipakaikan kepada individu di bawah pengawasan seperti kontak rapat kes positif, pengembara yang pulang dari luar negara atau individu yang berada di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) secara pentadbiran.
Pemakaian warna gelang kepada individu yang perlu dikuarantin tertakluk kepada stok di kawasan setempat
dan penentuan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Manakala tempat dan tarikh saringan dilakukan akan ditulis pada gelang tersebut.
Individu yang telah dipakaikan gelang kuarantin ini tidak boleh keluar rumah sehingga tempoh kuarantin tamat, kecuali bagi ketua keluarga untuk mendapatkan bekalan makanan.
Malah, gelang kuarantin hanya boleh dipotong oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat setelah tempoh kuarantin tamat.
KKM turut mengambil kesempatan memberikan ucapan penghargaan kepada rakyat Malaysia di atas keprihatinan mengambil peranan sebagai frontliner di kawasan masing-masing yang bertindak melaporkan individu dengan gelang kuarantin yang berada di tempat umum.
Sekiranya masih terdapat individu dengan gelang kuarantin berada di kawasan umum, laporan kepada pihak polis perlu dilakukan bagi melindungi masyarakat daripada risiko penularan COVID-19.
KKM juga amat menghargai kepatuhan individu yang dipakaikan gelang kuarantin untuk duduk di rumah sehingga tempoh tamat.
Individu yang ingkar arahan ini boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat di sekelilingnya.
Must-Watch Video