Viral
"Bukan Saya Bagus, Saya Tak Bagus, Tapi Tuhan Yang Bagus" - Uncle Kentang
Kelmarin saya menulis tentang bantuan Uncle Kentang pada seorang wanita yang bermalam di dalam kereta bersama enam orang anaknya. Sering mendengar dan membaca cerita tentang Uncle Kentang, saya memberanikan diri menghubungi nombor telefon yang tertera di Facebook.
Pembantunya bernama Sabrina menjawap panggilan saya dan meminta saya menghubungi keesokan harinya jam 8 pagi kerana Uncle Kentang perlu berehat. Dia kemudiannya menghantar nombor peribadi Uncle Kentang melalui WhatsApp.
Niat di hati kalaulah dapat menemu bual secara berhadapan, alangkah baiknya. Memang sudah tertulis saya akan bertemu dengannya apabila diberitahu oleh Uncle Kentang bahawa dia berada di Puchong, dan mengajak saya sarapan bersama-sama. Saya tidak menolak.
Membaca kisah-kisah yang dikongsinya di Facebook dan juga temu bual-temu bual beliau bersama banyak media menimbulkan rasa teruja, lalu mengambil keputusan menukar soalan-soalan tentang kisah wanita enam anak, kepada soalan-soalan yang lebih peribadi.
"Sayangi diri sendiri, untuk keluarga dan untuk anak-anak," itu ayat pertama yang keluar daripada mulutnya ketika bersua muka.
Baru sahaja duduk dan memesan sarapan, telefonnya mula berdering.
"Uncle, boleh tak saya nak pakai ambulan untuk hantar ayah saya daripada hospital di Kuala Lumpur balik ke kampung di Gua Musang, Kelantan," perkenal seorang pemuda di telefonnya.
"Boleh. Bila nak pakai? Nanti ada orang akan telefon kamu dan bincang dengan dia," jawap Uncle dengan tenang.
"Ini baru pagi sangat, sudah ada orang telefon," kata Uncle kepada saya seolah meminta maaf seketika saya baru memulakan temu bual bersamanya.
Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng sudah terbiasa dengan panggilan telefon yang diterimanya setiap hari. Saya nampak ada empat telefon di sisinya.
"Tadi ada seorang makcik telefon saya. Anaknya dapat masuk universiti tapi suaminya sakit dan berada di hospital. Dia tak mampu nak tanggung perbelanjaan.
"Saya beritahu dia supaya jangan bimbang. Saya akan tanggung pengajian anak makcik macam anak saya sendiri," kata Uncle Kentang memulakan bicara.
Belum sempat saya bertanya soalan, telefonnya berdering lagi. Pemuda yang sama menghubunginya berkenaan membawa pulang ayahnya ke kampung.
"Uncle, saya kerja despatch saja. Saya tak mampu nak bayar mahal. Boleh ke saya bayar RM300 untuk ambulan hantar ayah saya.
"Dengan nama Allah kamu kerja despatch?" tanya Uncle Kentang.
"Betul, Uncle. Dengan nama Allah, saya memang kerja despatch," jawap pemuda tersebut.
"Okay, nanti staff saya selesaikan. Saya suruh dia telefon kamu," kata Uncle Kentang.
"Terima kasih uncle. Terima kasih," tak berhenti pemuda itu mengucapkan terima kasih.
"Kamu jangan bimbang. Ayah kamu seorang saja. Nanti kita uruskan," ujar Uncle Kentang menenangkan pemuda itu.
Air mata mula mengalir di pipinya. Saya juga mula sebak mendengar perbualan mereka. Terdiam seketika kami berdua, sebelum Uncle Kentang kembali bersuara.
"Anak nak bawa ayah balik ke kampung buat kali terakhir. Ini perjalanan terakhir dia balik. Siapa saya nak kata tidak.
"Saya hanya tanya 'dengan nama Allah' sahaja kerana selepas ini urusannya dengan Tuhan. Kalau datang dengan nama Tuhan, saya bantu. Kalau dia tipu, itu dia dengan Tuhan. Saya sudah buat kerja saya," ujarnya sambil menyeka air mata di pipi.
Berasal daripada sebuah kampung di Batu Pahat, Johor, anak kepada penoreh getah ini memberitahu bahawa keluarganya susah, namun pelajaran sangat diutamakan.
"Nak ambil air, kena ke perigi yang jauh dan dikongsi bersama orang-orang kampung. Saya pakai baju dan seluar yang diberikan kepada saya. Kasut sekolah saya, ikat dengan tali rafia.
"Cikgu-cikgu di sekolah banyak menolong. Bukan hanya dari segi pelajaran, tapi makan minum juga. Jasa mereka sangat besar pada saya," kata Uncle Kentang.
Ditanya soalan yang mungkin sudah puluhan kali diutarakan kepadanya tentang panggilan Uncle Kentang, dia tersenyum.
"Dulu saya pernah tengok ada orang ni makan nasi hanya dengan kicap. Saya tanya kawan-kawan apa yang patut saya berikan dan apa yang boleh bagi mereka kenyang.
Mereka mencadangkan saya membeli kentang. Boleh rebus, boleh buat sup, boleh goreng dan boleh buat lauk. Macam-macam boleh. Saya selalu bawa berguni-guni kentang untuk diagihkan. Panggillah saya dengan nama apa pun, tapi Uncle Kentang yang melekat," katanya.
Telefonnya berdering lagi. Kali ini seorang wanita menghubungi untuk menggunakan van jenazah. Tok Batin Orang Asli meninggal dunia. Pantas sahaja Uncle Kentang menguruskan dan meletakkan telefon.
Kemudian dia menelefon seseorang. Mungkin pekerjanya. Dia memberikan beberapa arahan dan memastikan semua perkara dibuat.
"Kita lakukan kerja yang diminta oleh Tuhan. Van jenazah kena bersihkan. Kena sanitize. Kena pastikan dalam van tidak ada sampah atau sebarang kekotoran.
"Kita kena hormat dengan jenazah. Mereka mahu kembali bertemu dengan pencipta. Kita kena buat yang terbaik.
"Saya tak pernah fikir pasal duit. Kalau hari ini saya keluarkan duit, esok Tuhan bagi lagi banyak rezeki kepada saya. Kalau bukan melalui duit, mungkin melalui cara lain.
"Soalannya kenapa kita mampu? Kerana Tuhan membuat kita mampu. Antara kita nak buat atau tak mahu buat. Tapi kita ingat Tuhan tak? Kita insaf bila kita sakit. Masa kita susah baru kita mahu ingat Tuhan, masa senang kita enjoy saja," ujar Uncle Kentang lagi sebelum kembali menjawap panggilan telefon.
Uncle Kentang turut berkongsi kisah tentang teksi 10 sen yang dibuatnya kerana ada anak-anak yang tidak mempunyai duit untuk menghantar ibu atau bapa yang sakit ke hospital.
"Bayangkan dalam kesakitan nak tunggu bas naik bas dengan cuaca yang tak menentu semata-mata untuk pergi ke hospital. Memanglah hospital cuma bayar seringgit, tapi kos untuk ke hospital tu. Beban tu besar sangat.
"Ada ayat, 'dikala kau mempermudahkan orang lain, Aku akan mempermudahkan kamu', tapi adakah kita mempermudahkan orang lain?" tanya Uncle Kentang.
"Mengapa saya senang? Nak dapat derma ambulan pun orang bagi. Saya ingat sebulan baru boleh dapat RM150,000 tapi ini tak sampai empat hari daripada derma orang ramai.
"Bukan saya bagus, saya tak bagus, tapi Dia (Tuhan) yang bagus. Dia tahu saya nak buat apa, dan Dia permudahkan untuk saya. Dia yang gerakkan hati semua. Kalau Dia tak gerakkan hati, siapa yang nak derma?
Menurut Uncle Kentang lagi, ramai orang yang rugi kerana tidak yakin dengan Tuhan. Mereka takut untuk bersedekah kerana bimbang mereka sendiri tidak mencukupi.
"Yakinlah dengan rezeki Tuhan. Bila kita sedekah, kita akan dapat balik. Itu janji Dia. Mungkin bukan dengan wang ringgit, tetapi kita tetap akan dapat balik dan mungkin lebih daripada apa yang kita sedekahkan.
"Kenapa saya boleh ada 8 buah ambulan dan 4 buah van jenazah? Kerana saya yakin dengan rezeki yang Tuhan beri. Bila kita permudahkan hidup orang lain, Tuhan akan permudahkan hidup kita," kata Uncle Kentang.
Dia terdiam seketika. Kemudian cerita kami kembali berkisar kepada wanita yang tidur di dalam kereta selama lima malam bersama enam orang anaknya.
"Tengok ibu enam orang anak tu betapa susahnya hati dia. Bila dia hubungi saya, saya beritahu saya kena jumpa puan. Mula-mula saya terkilan kerana bila saya ke sana dan hubungi dia banyak kali, tapi tak jawap. Rupa-rupanya dia pergi temuduga kerja.
"Bayangkan dia dalam sakit tu, dia pergi temuduga kerja. Yang buat saya sebak, bila saya jumpa, dia pakai baju kurung elok, tudung semua elok, tapi kasut dia rosak. Itulah kasut sepasang dia ada. Itulah kasut, itulah selipar dia.
"Mengapa dia ditemukan dengan saya? Itu semua caturan Tuhan, bukan saya. Kalau dia jumpa orang lain, mungkin orang akan hulur sepuluh ringgit, dua puluh ringgit macam tu. Tak selesai masalah dia.
"Tuhan temukan saya dengan dia, semua orang turun tolong bantu. Tapi satu perkara, dia sangat tabah dan dia yakin dengan Tuhan. Dia tak mahu tinggalkan anak-anak dia. Dia punya ujian tu cukup besar.
"Saya rasa duit dalam bank dia sekarang mungkin lebih banyak daripada duit saya. Tapi kalau dia dapat rezekipun, saya rasa itu memang hak dia, kerana Tuhan dah turunkan ujian yang banyak untuk dia," kata Uncle Kentang sekali lagi menyeka air matanya.
Tambah Uncle Kentang lagi, Tuhan turut menggerakkan hati bos akhbar Sin Chew Jit Poh yang menghubunginya tentang ada Datuk Seri mahu mengumpul dana untuk wanita tersebut.
"Tidak ada rasis pun. Hanya politik yang ada rasis. Bayangkan Datuk Seri-Datuk Seri ni nak kumpul dana untuk kos perubatan dia. Bayangkan di Malaysia ada yang baik macam tu. Tiada perkauman langsung. Yang suka bangkitkan isu perkauman ini adalah mereka yang pentingkan politik sahaja.
"Tuhan gerakkan hati wanita itu untuk hubungi saya. Dia hubungi saya pun bukan nak minta duit. Dia hanya minta saya bercerita dengan tuan rumah supaya beri dia peluang bayar ansuran," kata Uncle Kentang sambil kembali menjawap telefon yang berdering.
Sepanjang dua jam kami berbicara, saya kira lebih tujuh hingga lapan panggilan telefon yang diterima oleh Uncle Kentang. Semua dilayan dengan baik dan tidak ada satu masalah pun yang ditolaknya.
Terlalu banyak pengorbanan lelaki berusia 58 tahun ini. Berulang kali dia memberitahu bahawa semua ini dilakukan kerana Tuhan untuk membantu mereka yang memerlukan.
Saya hanya mampu berdoa semoga Uncle Kentang sentiasa dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik untuk meneruskan usaha-usaha murni beliau.
Cita-cita saya untuk bertemu dengan insan yang digelar Uncle Kentang ini sudah tercapai.
Kredit Gambar: Gempak / Facebook Kuan Chee Heng