TERKINI
“Bukan Saya Memilih Tapi…” - Julia Farhana Penat Bawa Watak Penyondol, Mahu Cabar Diri Dengan Watak Lebih Berat
Pelakon dan pengacara Julia Farhana kini dalam fasa mencari peluang baharu dalam dunia lakonan selepas selesai menjalani penggambaran sebuah program sebagai seorang pengacara.
Menurut Julia atau nama sebenarnya Julia Farhana Marin, 31, dia mahu mencuba watak yang lebih mencabar dan beremosi berbanding karaketer yang pernah dibawakannya sebelum ini.
Katanya, dia juga mahu mengelakkan diri daripada terus terikat dengan watak seorang penyondol.
"So far, saya baru habis shooting satu program sebagai pengacara. Lepas ni, insya-Allah saya akan cari mana-mana tawaran berlakon filem atau drama. Tapi kalau boleh, saya dah tak nak pegang watak penyondol lagi,” katanya kepada Gempak.
Keluar dari zon selesa
Sering membawakan watak sebagai penyondol, aktres filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang, Julia mengakui sudah letih melakonkan karakter yang sama berulang kali.
Namun, untuk fasa seterusnya, aktres itu mahu mencabar diri dengan watak yang lebih berat dan mencerminkan kematangannya sebagai seorang pelakon.
"Bukan saya memilih, cuma saya dah penat bawa watak yang sama. Sepanjang karier, saya dah bawakan macam-macam karakter dan bersyukur dapat rasa pelbagai pengalaman. Tapi untuk masa depan, saya dah bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar sebagai seorang pelakon,” kongsinya.
Sanggup hadir ke sesi ujibakat lakonan
Pada masa sama, Julia turut berkata dia tidak kisah untuk menghadiri sesi ujibakat bagi membuktikan kemampuannya dalam bawa watak yang lebih mencabar dan beremosi.
"Saya okay je dengan watak-watak yang pernah saya bawa sebelum ni. Tak ada masalah langsung. Cuma bila saya nak kembali ke dunia lakonan, saya nak karakter yang berbeza.
"Kalau saya tak diberi peluang untuk cuba watak baru, macam mana penerbit dan pengarah nak nampak kebolehan saya dalam karakter lain? Saya tak kisah pun kalau kena pergi ujibakat. Saya lebih rela tunjuk sendiri bakat saya depan mereka daripada mereka terus buat andaian,” jelasnya.
Selain itu, dia turut menyatakan bahawa dia berminat dengan watak Mimi Lana dalam drama Andai Tiada Dia.
BERITA BERKAITAN: “Adakah Saya Akan Mati Dalam…” - Julia Farhana Kongsi Detik Cemas Alami Trauma Klaustrofobia Ketika Penggambaran
BERITA BERKAITAN: “Jangan Salah Faham, Bukan Amal Konsep 'Child Free'” - Julia Farhana Pilih Pakai IUD, Mahu Fokus Belajar Sampai PhD
Katanya, jika diberi skrip yang berkualiti dengan karakter yang kuat, dia sedia mempertimbangkannya.
"Saya akan pertimbangkan kalau ada naskhah yang memberikan karakter penyondol yang kuat dan mencabar seperti watak Mimi Lana dalam drama ‘Andai Tiada Dia’. Itu memang watak yang saya rasa boleh push saya ke tahap lebih baik,” ulasnya.
Pengarah & Penerbit lihat bakat dalam lakonan
Bagaimanapun, Julia turut merasakan kebanyakan penerbit dan pengarah mungkin sering melihatnya membawa watak yang tegas, berani dan penuh aksi.
Oleh itu, pihak pengarah dan penerbit menganggap dia tidak sesuai untuk melakukan watak yang agak beremosi.
"Mungkin sebab mereka selalu nampak saya bawa watak yang tegas, suka beraksi dan sebagainya. Sebab tu mereka fikir saya tak boleh bawa watak yang lebih lembut atau penuh emosi.
"Tapi realitinya, saya juga ada sisi manja dan baik. Cuma saya perlukan peluang untuk tunjukkan kebolehan saya dalam watak sebegitu," katanya.