“Bukan Saya, Tanyalah Pada Tuan Badan Sendiri” – Adira Nafi Pernah 'Bercakaran' Dengan Bekas Madu Datin Red
Penyanyi Adira Suhaimi menafikan dakwaan kononnya pernah ‘bercakaran’ dengan bekas madunya, Datin Red.
Spekulasi itu tercetus selepas Datin Red memuat naik satu hantaran berkongsi mengenai pengalaman bergaduh dengan seorang wanita pada masa lalu, yang dikongsikan selepas isu hangat antara selebriti media sosial, Cik Epal dan Dewi Yull tular baru-baru ini.
Tampil menjawab mengenai isu ini, Adira menegaskan dia enggan mengulas lanjut selain menafikan bahawa individu yang dimaksudkan Datin Red adalah dirinya.
“Saya tidak ambil tahu pun tentang posting yang dibuat olehnya. Tapi yang pasti orang yang dia pernah bercakaran itu bukan dengan saya. Kalau nak tahu jawapan, mungkin boleh tanya pada tuan badan sendiri.
“Saya tak rasa dia sindir saya. Memang bukan saya,”katanya ditemui pada majlis sidang media Konsert MeleTOP TVS di Astro, Bukit Jalil.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hubungan dengan Datin Red atau Norshafila, penyanyi lagu Ku Ada Kamu itu memaklumkan dia terbuka untuk berbaik dengan sesiapa sahaja, termasuklah bekas madunya.
“Saya terbuka untuk sesiapa sahaja yang nak ada hubungan baik dengan saya, saya akan layan sehabis baik, insya-Allah,” ujarnya.
Terdahulu, Norshafila membuat pengakuan dengan menyatakan bahawa dia pernah terlibat dalam pergaduhan fizikal dengan seorang wanita di kediamannya suatu ketika dahulu.
Menurut Norshafila, insiden itu berlaku ketika zaman mudanya.
“Zaman dah berlalu, masa usia muda lagi. Saya ada darah pahlawan. Tak habis dari situ, bukan setakat cakar saja, aku terajang sampai terpelanting,” kata Norshafila menerusi hantaran di IG Story.

Mnerusi perkembangan lain, Adira akan membuat kemunculan dalam Konsert MeleTOP TVS yang bakal berlangsund di Stadium Tertutup Miri, Sarawak pada 17 Mei ini.
Selain Adira, konsert berprestij itu turut menampilkan barisan selebriti hebat seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Marsha Milan, Hafiz Suip, Stacy, Floor 88 & Namie, DOLLA, Sada Borneo, Dion Das, Francisca Luhong, dan ramai lagi.
Konsert ini akan dikendalikan oleh gabungan pengacara popular dari MeleTOP dan TVS termasuk Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hawa Rizwana, Ghaz Zawawi, Cheryl Toh dan Fattah Bolh.