Melihat karakter yang sentiasa gembira dan ceria, siapa sangka penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir rupanya pernah mengalami masalah kemurungan.

Difahamkan, masalah dialami Dina itu berlaku sekitar 2009 apabila dia buat pertama kalinya bercinta.

"Masa itu saya baru ada teman lelaki dan ketika itu jugalah pertama kali saya bercinta.

"Namun bila putus tu saya rasa sunyi. Dulu ada orang nak mengadu, tapi bila putus tiba-tiba tak ada orang kita nak luah perasaan.

"Saya murung sebab sunyi bukan sebab tak gembira dengan diri," katanya.

Jelas Dina, masalah kemurungan dialaminya itu juga turut menyebabkan perubahan terhadap kelakuannya.

"Antaranya saya kerap pakai baju hitam, malah bila ada kenduri kahwin saya mogok tak nak pergi. Lama juga saya berkelakuan macam tu.

"Namun, satu hari saya nekad untuk telefon teman wanita kepada bekas teman lelaki saya untuk meminta maaf. Saya tak mahu jadi orang yang dulu asyik kutuk benda yang tak elok.

"Alhamdulillah lepas saya buat macam tu saya lega. Sekarang bila ada je masalah, saya akan bercerita kepada keluarga dan rakan rapat. Kalau simpan tak guna," katanya.

Dina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan duta baru SSKlinic yang berlangsung di Damansara 3, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Dina dilantik sebagai duta bagi klinik kecantikan tersebut.

Difahamkan, SSKlinic menawarkan pelbagai jenis rawatan estetika serta program pelangsingan badan.

Setiap rawatan dilakukan oleh sekumpulan pakar perunding, ahli terapi dan pakar kecantikan yang berkemahiran tinggi.