Hiburan
"Bukan Setakat Naik Hantu, Saya Dah Keluar Jin!" - Tunggu BBNU 8 Jam Lewat, Zizi Kirana Berang!
Penyanyi sensasi, Zizi Kirana meluahkan rasa berang kerana terpaksa menunggu kehadiran seorang artis baru yang lewat tiba di lokasi sebuah program.
Menanti selama lapan jam, Zizi berharap perkara ini menjadi iktibar kepada bintang baru yang menceburkan diri dalam dunia hiburan.
"Semenjak saya menyertai Akademi Fantasia pada 2009, saya sudah ditekankan dengan elemen disiplin, lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan masa.
"Dalam dunia hiburan, kita bekerja dengan ramai orang dan disiplin perlu diutamakan kerana kita tak mahu orang lain terbeban kerana kerenah kita.
"Baru-baru ini, saya terpaksa menunggu selama lapan jam di lokasi sebuah program.
"Artis baru itu datang lewat dan perkata terbabit membuatkan saya sangat kecewa.
"Orang lain juga mempunyai komitmen, tetapi nampaknya dia mengambil sikap sambil lewa. Perkata terbabit benar-benar menyusahkan.
"Saya harap ia menjadi iktibar kepada semua pihak, terutamanya bintang baru. Mereka mempunyai masa depan cerah, jadi jangan rosakkan ia dengan perkara remeh sebegini.
"Ketika itu, saya bukan setakat naik hantu, malah siap keluar jin mengenangkan perangai artis itu!" selorohnya.
Zizi ditemui di majlis pelancaran kasut New Balance 850 di Slate @ The Row, Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu, Zizi turut meminta artis baru menghormati mereka yang lebih senior.
"Jika artis baru tak mahu bertegur atau bersalam dengan saya, tak mengapa kerana saya tahu tahap saya dalam industri, masih mahu mencipta nama dan menempatkan diri dalam bidang seni.
"Tetapi, apa yang saya harapkan, jika artis baru bertemu dengan mereka yang lebih senior dari saya, tegurlah atau apa salahnya jika menyapa dan bersalam.
"Paling tidak, lontarkan senyuman ikhlas, itu pun sudah memadai. Selain disiplin, artis perlu dipupuk dengan rasa hormat kepada orang lain," katanya lagi.
Must-Watch Video