Baru-baru ini, pengkritik filem terkenal, Hassan Abd Muthalib ada membincangkan tentang beberapa elemen yang disampaikan dalam filem komedi terbaru arahan Mamat Khalid, Manap Karaoke menerusi Facebook.

BACA : "Seni, Sejarah & Inspirasi Filem Terdahulu" - Pengkritik Filem Hassan Abd Muthalib Bincang Maksud Tersirat Dalam Manap Karaoke

Sebelum ini Hassan juga pernah memuji beberapa filem arahan pengarah tersebut.

Ekoran perkara itu, ada segelintir pihak mendakwa Hassan sering memuji filem Mamat Khalid kerana mereka berteman rapat.

Bagi mendapatkan kepastian mengenai hal ini, Gempak telah mendapatkan kenyataan dari Mamat Khalid sendiri menerusi temu bual khas filem Manap Karaoke di ruangan live Instagram Gempak.



"Bagi saya, ia bukan soal kawan baik, kawan baik Hassan adalah naskah sesebuah filem itu sendiri.

"Hassan kenal dan tahu tentang apa yang saya lakukan dalam dunia perfileman ini, ada orang kata kami kawan baik, bukan begitu, ia bukanlah tentang persahabatan dalam soal ini," katanya.

Tambah Mamat, sebagai seorang pengarah, dia gembira kerana filemnya diulas oleh pengkritik profesional seperti Hassan.

"Pada pendapat saya, jika Hassan sudah ulas sesuatu filem, ia sudah cukup baik bagi saya dan pengarah-pengarah lain," tambahnya.

Bagi anda yang masih belum menonton Manap Karaoke, filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Manap yang membuka perniagaan karaoke bergerak.

Namun, perjalanan Manap tidak semudah yang disangka kerana pelbagai cabaran dan dugaan akan dihadapinya.

Apa yang pasti, terdapat banyak kisah lucu menanti anda dalam filem ini.

Manap Karaoke menampilkan barisan pelakon hebat seperti Joey Daud, Ropie, Pekin Ibrahim, Mona Allen dan ramai lagi. Jangan lupa untuk mendapatkannya di Astro First, saluran 480 sekarang!