Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Bukan Syok Sendiri" - Anugerah Telenovela Hargai Industri Kreatif

Amri Hassan
25/07/2018 06:58 MYT
Tiada promosi kencang mahu pun hebahan, sedar tak sedar Anugerah Telenovela sudah memasuki edisi ketiga penganjurannya tahun ini.

Memimpim tugas selaku penganjur tahun ini, Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Hasan Hamzah menjelaskan Anugerah Telenovela bukan semata-mata untuk industri hiburan.

"Mungkin ada yang salah faham dengan kewujudan anugerah ini, namun ingin saya tegaskan Anugerah Telenovela bukan sekadar untuk hiburan semata-mata.

"Sebaliknya, anugerah ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada industri kreatif seperti penulis buku dan novel.

"Anugerah ini bukan anugerah syok sendiri," katanya kepada Gempak.

Hasan ditemui pada sidang media Anugerah Telenovela 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anugerah Telenovela dianjurkan sempena Festival Industri Kreatif yang akan berlangsung pada 28 Julai ini dan ditayangkan secara live streaming Viral TV bermula pukul 8 malam.

Anugerah Telenovela 2018 mempertandingan 46 kategori daripada pelbagai karya kreatif drama, filem dan telefilem tempatan adaptasi novel seperti Tombiruo: Penunggu Rimba, Bisik Pada Langit, Kimchi Untuk Awak, Awak Suka Saya Tak? dan Titian Cinta.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Telenovela Popular, Novel Popular, Ratu Telenovela Serba Dinamik, Pelakon Lelaki & Wanita Sensasi, Primadona Telenovela dan Tokoh Penghibur Sepanjang Zaman.

Teks oleh: Amri Hassan
#Tombiruo: Penunggu Rimba #Anugerah Telenovela 2018 #YPBN
;