Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob memaklumkan dia sudah memberhentikan persekolahan ketiga-tiga anaknya sejak beberapa bulan lalu.

Fazley, 43, memberitahu anak-anaknya, Ahmad Fariedz Shah, 13, Ahmad Fieradz Shah, 12 dan Ahmad Firudz Shah, 10, kini mengikuti kaedah pembelajaran secara dalam talian dari rumah mengikut sistem disediakan Wolsey Hall Oxford dari United Kingdom.

“Bukan tak nak hantar mereka sekolah, tapi dengan pandemik sekarang ia membuatkan saya dan isteri bimbang dengan keselamatan anak-anak di sekolah.

“Jadi, kami berbincang dan terfikir untuk mengguna kaedah pembelajaran di rumah tapi mengikut sistem yang berkesan. Maka, kami berusaha mencari kaedah diinginkan.

"Setelah membuat pencarian didapati sistem pembelajaran di rumah yang disediakan Wolsey Hall Oxford ini sangat sesuai untuk anak-anak kami.

“Namun, saya ambil masa sebulan juga untuk membuat keputusan memberhentikan anak-anak di sekolah antarabangsa dan bersekolah di rumah," katanya.

Penyanyi Asmara Ini itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sajian Merentasi Zaman menampilkan Fazley sebagai Ketua Cef sempena buffet Ramadan di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut mengenai kaedah home schooling tersebut, Fazley memberitahu dia dan isterinya Datin Azrene Ahmad kini dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak di rumah.

"Setakat ini, saya bersyukur kerana mereka gembira, selesa dan lebih fokus pada pelajaran.

“Kaedah ini tak jauh beza dengan konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini, cuma kaedah yang kami pilih ini saya dan isteri harus memainkan peranan 100 peratus memantau urusan pembelajaran anak-anak mengikut sistem ditetapkan.

“Pada masa yang sama, saya tak nafikan ia juga menjimatkan kos kerana kami hanya peruntukan 1 daripada 10 yuran yang biasa kami biayai untuk sekolah antarabangsa mereka sebelum ini ," jelasnya lagi.

Fazley mendirikan rumah tangga dengan Azrene pada 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata. Seorang lagi anak mereka, Alayna Selma kini berusia empat tahun.

A post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob)