HIBURAN
Bukan Undur Diri Sepenuhnya, Che Nom Hanya Mahu Berehat Seketika Dari ‘Dunia Influencer’ - “Bangun Pagi Rasa Ringan, Tak Serabut”
Pencipta kandungan masakan popular, Che Nom menjelaskan bahawa dia bukan menghilangkan diri atau terus meninggalkan dunia media sosial seperti yang disangkakan ramai, sebaliknya kini sedang berehat seketika demi memberi ruang untuk diri sendiri dan keluarga.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Che Nom berkongsi tentang fasa terbaharu dalam kehidupannya selepas bertahun-tahun hidup dalam rutin yang padat sebagai ‘pempengaruh’.
“Dulu hidup kami memang hectic, hari-hari fikir video apa nak buat, resepi apa nak test, bila nak shooting, editing… semua laju je.
“Tapi bila start fokus jaga badan, baru kami sedar… lama dah kami tak jaga diri sendiri betul-betul,” tulisnya.
Tambahnya lagi, keputusan untuk ‘memperlahan’ langkah tidak bermaksud dia akan berhenti sepenuhnya dari menghasilkan kandungan.
“Sekarang ni, kami perlahan sikit. Bukan berhenti terus… cuma bagi ruang untuk tarik nafas, untuk enjoy masa dengan family, dan untuk appreciate benda-benda kecil yang selama ni terlepas pandang.
“Tak semua kejayaan datang dari views tinggi atau viral. Ada hari tu, “menang” bila boleh bangun pagi rasa ringan, hati tenang, tak serabut,” katanya.
Walaupun tidak seaktif dahulu, Che Nom sempat mengucapkan terima kasih kepada para pengikutnya yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap video masakannya.
“Terima kasih sebab masih support walaupun kami dah tak sepantas dulu. Support dari korang tu buat kami lebih yakin untuk utamakan apa yang paling penting dalam hidup,” ujarnya lagi.
Terdahulu, nama Che Nom menjadi bualan netizen selepas dia difahamkan mahu mengundurkan diri daripada aktiviti sebagai pencipta kandungan disebabkan perubahan dalam industri serta keutamaannya terhadap kesihatan dan kehidupan peribadi.
Untuk rekod, Che Nom merupakan antara nama terawal dalam industri pencipta kandungan makanan di Malaysia yang berjaya meraih jutaan tontonan menerusi resipi-resipi tradisional dan moden di pelbagai platform.
Must-Watch Video