Penyanyi yang baru menjinakkan diri dalam industri muzik, Kucaimars atau nama sebenarnya Amirul Husyairi menafikan nama pentasnya itu meniru nama penyanyi antarabangsa, Bruno Mars.

Menurut Kucaimars, namanya itu digabungkan dari nama jolokannya sejak zaman sekolah iaitu Kucai dan dipadankan dengan jenama coklat Mars.

"Ramai juga yang bertanya adakah nama pentas saya ada unsur meniru nama Bruno Mars.

"Sebenarnya, saya bukanlah meniru penyanyi antarabangsa itu, sebaliknya, nama Kucaimars ini adalah gabungan nama jolokan saya (Kucai) dan jenama coklat (Mars).

"Idea itu datang secara tiba-tiba dan saya sukakannya, bukan untuk meniru mana-mana artis lain," katanya kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, Kucaimars telah tampil dengan single terbaru yang berjudul Jawab.

Lagu ini boleh didapati di semua platform digital dan video muzik rasminya juga telah ditayangkan di YouTube mulai 29 Mac lalu.