Tajuk isu gurauan rogol dilaporkan dua portal berita dianggap mengelirukan dan tidak memberi gambaran tepat mengenai kenyataan sebenar dibuat Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam sidang media pada Isnin.

Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Superintendan A Skandaguru berkata, tajuk laporan berita itu hanya merujuk kepada sebahagian kenyataan dan menggambarkannya sebagai inti pati kenyataan.

Menurutnya, penulisan tajuk itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat, mencemar kredibiliti siasatan polis serta mewujudkan spekulasi negatif terhadap mangsa dalam kes itu.

"Menurut kenyataan itu, ungkapan 'mungkin gurauan' adalah maklum balas kepada wartawan mengenai aspek yang sedang disiasat dan tidak bermaksud isu berkenaan 'hanya sekadar gurauan' seperti mana digambarkan portal terbabit.

"Tiada mana-mana aspek dalam kes berkenaan pernah dianggap sebagai gurauan dan polis memandang serius setiap laporan serta sentiasa memberi komitmen bagi menjalankan siasatan terperinci," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kebertanggungjawaban pihak media dalam melaporkan kes sebegini amat diperlukan bagi mengelak persepsi salah dalam kalangan masyarakat, sebelum proses siasatan diselesaikan.

Antara tajuk berita yang didakwa mengelirukan itu ialah 'Deputy IGP Describes Rape Threat Against Teen As 'Maybe' A Joke' (Timbalan Ketua Polis Negara menggambarkan Ugutan Rogol Terhadap Remaja 'Mungkin' Gurauan', serta 'Pelajar Wanita Dihina Diugut Rogol, Acryl Sani: Rakan Sekelas Mungkin Bergurau'.

Semalam media melaporkan polis menerima dua laporan berhubung dakwaan seorang guru mengeluarkan perkataan berunsur lucah dengan menggalakkan perlakuan rogol ketika sesi kelas subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).

Acryl Sani dipetik berkata, dua laporan itu dibuat seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun kerana perkataan dikeluarkan guru itu tidak sesuai dan gurauan rakan sekelas mengenai kes terbabit.

Sumber: Harian Metro