Igauan ngeri semua murid dan pelajar sekolah yang setiap hari menyandang bebaban buku teks mungkin berakhir apabila versi digital telah dikeluarkan.

Menurut Agensi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Perbadanan Kota Buku (PKB), pihaknya telah membangunkan aplikasi “KPM eTextbook Reader” bagi memudahkan murid mendapatkan buku teks sekolah secara digital.

Menerusi satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan aplikasi itu sekali gus memberi akses buku teks sekolah secara digital kepada murid yang akan memulakan sesi persekolahan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Januari.

Difahamkan, KPM eTextbook Reader membantu murid-murid memuat turun buku teks digital melalui penyediaan piawaian fail EPUB iaitu format fail standard terbuka.

Buku digital ini lebih ringan dan serasi dengan peranti mudah alih.

“Aplikasi boleh didapati secara percuma melalui laman sesawang www.textbook.moe.gov.my atau boleh terus dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store dengan carian KPM eTextbook Reader,” menurut KPM.

Untuk makluman, aplikasi tersebut membolehkan murid mengakses buku teks digital menggunakan telefon pintar dan tablet pada bila-bila masa baik di luar sekolah atau kediaman untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Capaian internet juga tidak diperlukan setelah aplikasi dimuat turun.

Apapun aplikasi KPM eTextBook Reader menjadi penyelesai masalah beg sekolah berat dan mengurangkan kos mencetak buku teks.

Sumber: Bernama
Sumber Gambar: Malaysiakini